England menang mudah

PRISTINA, 18 NOV – Gareth Southgate percaya England masih boleh meningkat walaupun menang 4-0 mengatasi Kosovo awal pagi tadi yang memastikan mereka berada dalam kelompok enam pasukan pilihan pada Euro 2020.

Skuad kendalian Southgate mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan membelasah Montenegro 7-0 awal pagi Jumaat lalu dan mereka menamatkan kempen kelayakan yang dominan dengan mengetepikan Kosovo di Pristina hasil jaringan Harry Winks, Harry Kane, Marcus Rashford dan Mason Mount.

Walaupun England tidak berada di tahap terbaik, ia memberikan mereka kedudukan selaku juara Kumpulan A, tempat yang seharusnya membantu mereka mengelak pasukan handalan dalam pusingan akhir nanti.

Gol sulung Winks buat England, dalam penampilan keenam, menjadi saat penting sebelum jaringan babak kedua Kane dan Rashford serta gol sulung Mount di peringkat antarabangsa.

Dengan tiga daripada perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 dan separuh akhir serta final akan dilangsungkan di England, pasukan layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 itu akan mara ke peringkat undian pada 30 November selaku antara pilihan merangkul trofi.

Walaupun gembira dengan gaya permainan menyerang pasukan, Southgate menegaskan pasukannya mesti lebih bagus di bahagian pertahanan.

“Ia perlawanan yang sengit dan ujian bagus buat kami. Ia padang yang sukar dengan pemain tergelincir dan hantaran tidak menjadi,” kata Southgate.

“Kami memberikan mereka peluang. Pada malam yang lain, itu boleh mendatangkan masalah. Cara permainan perlu kami lihat kembali. Terlalu banyak pemain tidak dijaga dalam kotak penalti.” – AFP

Aksi Kane ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Kosovo di Stadium Fadil Vokrri, Prishtina, awal pagi kelmarin. – AFP