LE HAVRE, 28 JUN – Skuad bola sepak wanita England menetapkan sasaran mengakhiri badi separuh akhir apabila menewaskan Norway 3-0 di suku akhir Piala Dunia Wanita, awal pagi tadi.
David Beckham antara bintang yang datang ke Stade Oceane itu dengan jaringan England diperoleh menerusi Jill Scott dan Ellen White pada babak pertama sebelum Lucy Bronze meledak gol menarik pada separuh masa kedua. Pasukan Phil Neville berpeluang untuk menambah jaringan pada penghujung perlawanan tetapi Nikita Parris gagal menyempurnakan penalti.
Pada edisi 2015, England turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norway dengan jaringan Bronze tampak serupa tetapi mereka terkandas di pusingan berikutnya dan sekali lagi tumbang di peringkat empat terbaik pada Euro 2017.
Tetapi kali ini, mereka berharap untuk mara lebih jauh sekali pun sedar lawan yang bakal ditentang pada pusingan berikutnya cukup getir sama ada tuan rumah, Perancis atau penyandang juara, Amerika Syarikat (AS).
“Kami adalah pasukan yang tewas di separuh akhir pada dua kejohanan utama dan saya rasa sebab utama saya memikul tugas ini adalah untuk membawa kami melepasi separuh akhir,” kata Neville.
“Apa yang saya katakan kepada mereka di penghujung permainan, dan saya tidak malu untuk menyatakannya, ‘Adakah kamu bersedia untuk memenangi Piala Dunia’ kerana kami berada di sini untuk menang dan saya fikir kami berada dalam keadaan yang baik.” – AFP