ANDORRA, 10 OKT – Jack Grealish dan Ben Chilwell masing-masing menjaringkan gol pertama untuk England ketika pendahulu Kumpulan I itu membelasah Andorra 5-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia, semalam.
Chilwell meletakkan skuad bimbingan Gareth Southgate di depan pada awal perlawanan sebelum Bukayo Saka menambah gol kedua di Estadi Nacional.
Tammy Abraham menjaringkan gol pertama untuk England selepas dua tahun pada separuh masa kedua dan James Ward-Prowse kemudian menambah gol keempat.
Grealish baru menyertai Manchester City selepas berhijrah dari Aston Villa, masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol.
England mempunyai kelebihan empat mata di tangga teratas peringkat kumpulan dan hanya memerlukan dua kemenangan lagi daripada tiga perlawanan terakhir untuk memastikan mereka layak secara automatik ke Piala Dunia.
Perlawanan seterusnya England akan bertemu Hungary di laman sendiri Rabu ini sebelum menanti kunjungan Albania dan kemudian berkunjung ke San Marino pada bulan depan.
Naib juara Euro 2020 itu dilihat tidak berdepan masalah untuk layak ke Piala Dunia Qatar pada tahun depan.
Dengan Phil Foden dan Jadon Sancho memberikan persembahan yang baik buat England sekali gus memuaskan hati para pengunjung.
“Saya puas hati dengan cara pasukan beraksi pada perlawanan ini menentang lawan yang mempunyai cabaran spesifik iaitu gemar bertahan. Kami memilih pemain yang mampu menghadapi cabaran seperti ini,” kata Southgate.
“Ada momen menarik apabila Chilwell menjaringkan gol selepas melalui situasi sukar bersama kami. Begitu juga dengan Jack yang turut menjaringkan gol pertama.
“Tammy dan Bukayo bukan pemain yang sering menjaringkan gol, jadi amat menarik melihat aksi mereka semua,” tambahnya.
Southgate melakukan 10 perubahan dalam perlawanan seri menentang Poland tatkala penyerang Roma, Abraham tampil dalam perlawanan antarabangsa pertamanya selepas empat tahun.
Chilwell adalah salah seorang pemain baharu diturunkan oleh Southgate dan pemain pertahanan kiri Chelsea itu memberi England kelebihan pada minit ke-17. – AFP