LONDON, 6 SEPT – England kembali ke Wembley buat pertama kali selepas kekecewaan di final Euro 2020 dengan menewaskan Andorra 4-0 semalam untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Pengurus England, Gareth Southgate menukar keseluruhan barisan pemainnya berikutan kemenangan selesa 4-0 ke atas Hungary pertengahan minggu lalu, kali pertama England melakukan perubahan keseluruhan pemain sejak 1982.
Namun pasukan tuan rumah masih memiliki kualiti permainan terbaik ketika berdepan Andorra yang menduduki ranking ke-156 dunia, walaupun mereka bergelut untuk menukar penguasaan perlawanan mereka kepada gol dalam perlawanan itu.
Jesse Lingard meledakkan dua gol dan Harry Kane yang diturunkan sebagai pemain gantian menjaringkan gol sebelum Bukayo Saka menambah mata di hujung perlawanan bagi memastikan kemenangan selesa buat England dan melebarkan kemenangan kepada lima dalam aksi Kumpulan I dalam misi untuk layak ke Piala Dunia Qatar 2022.
Southgate berkata pemainnya sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan dan mengakui bergelut untuk mencari kesefahaman meskipun menguasai perlawanan.

Penyerang Manchester United, Lingard, yang telah disingkirkan di Old Trafford, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18, gol pertamanya bersama pasukan antarabangsa sejak 2018.
Dia kemudian berlari meraikan jaringan golnya dengan lompatan berputar seperti yang selalu dilakukan oleh Cristiano Ronaldo untuk menghormati rakan baharunya itu.
England sedikit kecewa dengan persembahan mereka pada separuh masa pertama, tidak dapat menembusi pertahanan Andorra, yang menghalang serangan pasukan tuan rumah dengan beberapa taktik kotor dan kasar.
Pasukan Southgate kembali bangkit selepas rehat, tetapi sekali lagi bergelut untuk mencipta peluang yang baik, dengan cubaan Reece James dari jarak jauh terkena palang.
Sebelum perlawanan, ribuan peminat datang ke stadium sebelum sepak mula tetapi tidak ada tragedi berulang seperti di final Euro 2020. – AFP