LONDON, 25 MAC – England melanjutkan permulaan 100 peratus jurulatihnya, Thomas Tuchel apabila gol antarabangsa pertama Reece James bantu tumpaskan Latvia 3-0 dalam kelayakan Piala Dunia kelmarin.
James memecah kebuntuan dengan sepakan percuma yang hebat pada penghujung separuh masa pertama ketika bek kanan Chelsea itu membuat permulaan mengagumkan England sejak September 2022.
Kapten England, Harry Kane pula menguatkan kedudukan pada separuh masa kedua dengan gol antarabangsanya yang ke-71, sebelum Eberechi Eze masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol sulungnya untuk Three Lions.
Di sebalik permulaan mereka yang tidak konsisten pada era Tuchel, berdepan dengan pasukan lawan dalam Kumpulan K yang lemah menunjukkan England sudah pun dalam perjalanan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Tuchel adalah bos England pertama yang memenangi dua perlawanan kompetitif pertamanya sejak Fabio Capello dan dia ada 75 hari untuk bersedia perlawanan kelayakan seterusnya di Andorra pada 7 Jun.
Bagaimanapun, Tuchel dikatakan masih belum dapat melahirkan pasukan yang lebih berani daripada pasukan ‘takut’ yang mara ke final Euro 2024 di bawah Gareth Southgate.
Tetapi Tuchel sudah menunjukkan bahawa dia tidak kisah akan pemain status bintang dalam pasukan apabila dia hanya umumkan barisan pemain hanya beberapa jam sebelum sepak mula dengan tanpa pemain dari Manchester United, Manchester City atau Liverpool buat kali pertama sejak 1992.
Penyerang City Phil Foden digantikan oleh Jarrod Bowen selepas aksi hambarnya menentang Albania, manakala pemain tengah Aston Villa, Morgan Rogers dipanggil masuk dan bukannya Curtis Jones dari Liverpool.
James pula masuk menggantikan Kyle Walker dan Marc Guehi menggantikan Dan Burn sebagai bek tengah.
Walaupun England memonopoli penguasaan bola, mereka hampir bolos dengan cara yang memalukan selepas 19 minit melalui percubaan tersasar Vladislav Gutkovskis.
Bagaimanapun, James berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-38 melalui sepakan percuma.
Bellingham pula digantikan oleh Foden untuk diselamatkan dari kad merah dan England akhirnya menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-68.
Declan Rice membuat hantaran silang rendah ke dalam kotak enam ela, apabila Kane menyambut dan menyudahkan jaringan.
Pemain sayap Crystal Palace, Eze menambah jaringan pada minit ke-76, merebut bola dari lantunan Antonijs Cernomordijs sebelum membuat jaringan ketiga pasukan England. – AFP
