Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    England tidak perlu buktikan apa-apa lagi – Bronze

    LONDON, 24 JULAI – Lucy Bronze menegaskan bahawa England tidak perlu membuktikan apa-apa lagi selepas menempah slot ke perlawanan akhir Euro Wanita 2025 dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Itali dalam separuh akhir di Geneva, lapor PA Media/dpa.

    Juara bertahan itu turun sebagai pilihan utama, namun memerlukan jaringan penyamaan saat akhir oleh pemain gantian berusia 19 tahun, Michelle Agyemang, sebelum gol kemenangan Chloe Kelly pada masa tambahan mengesahkan kemaraan mereka ke final.

    Sikap juang tanpa mengenal putus asa oleh skuad Lionesses mendapat pujian ramai, namun aksi pembukaan yang menyaksikan kekalahan kepada Perancis serta dua kemenangan tipis dalam pusingan kalah mati turut menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan England menentang cabaran getir sama ada Sepanyol atau Jerman di pentas akhir.

    “Saya rasa orang luar fikir pasukan perlu menang setiap perlawanan,” kata Bronze.

    “Ramai bercakap soal konsistensi pasukan England ini – kami sudah layak ke enam separuh akhir berturut-turut dan tiga final berturut-turut. Siapa lagi yang pernah lakukan begitu? Tiada.

    “Sepanyol dan Jerman pun pasukan hebat, tetapi mereka belum berjaya capai pencapaian itu.”

    Menurut Bronze, sukar untuk kekal di puncak bola sepak antarabangsa kerana kebanyakan pasukan menunjukkan prestasi turun naik, namun England terus berjuang hingga ke penghujung setiap perlawanan.

    “Saya rasa kami tak perlu buktikan apa-apa lagi sebab kami sudah capai semua itu berkali-kali.

    “Realitinya, bola sepak antarabangsa kini jauh lebih mencabar. Semua pasukan mahu menang dan percaya mereka boleh menang.”

    Wiegman kini memimpin pasukannya ke lima final kejohanan utama berturut-turut ketua jurulatih pertama yang melakukannya dalam bola sepak lelaki atau wanita.

    Jurulatih dari Belanda itu, yang telah membawa England ke tiga final berturut-turut, berharap aksi final Ahad ini tidak perlu ditentukan di saat akhir. – Bernama

    Lucy Bronze semasa perlawanan separuh akhir UEFA EURO Wanita 2025 menentang Itali pada 22 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda