Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enjin kereta terbakar

    Oleh Sim Y. H.

    BELAIT, 4 JULAI – Satu kejadian kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku di sebuah bangunan di Kuala Belait pada pukul 2:55 petang, 2 Julai lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, sembilan orang anggota dari Balai Bomba Kuala Belait, Cawangan Operasi B yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Aliham bin Haji Dzolkifli dikejarkan ke tempat kejadian.

    Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api besar membakar sebahagian hadapan kereta jenis sedan dua pintu.

    Anggota bomba segera bertindak memadam kebakaran dengan api dapat dikawal dalam masa dua minit.

    Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kereta merupakan warganegara tempatan dan tiada mangsa dilaporkan semasa kejadian berkenaan.

    Sehubungan itu, JBP terus menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

    Keadaan kereta yang terbakar dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah bangunan di Kuala Belait pada 2 Julai lalu. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda