Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Sebuah kereta yang diletakkan di kawasan letak kereta di Pekan Bangar terbakar di bahagian enjin dalam insiden yang berlaku petang kelmarin.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sembilan anggota bomba berserta dua jentera dari Balai Bomba Bangar telah dikejarkan ke tempat kejadian di mana mereka mendapati api besar telah membakar keseluruhan ruang enjin kereta berkenaan.
Anggota bomba yang diketuai oleh ASO Haji Yussof bin Jerudin dari Balai Bomba Bangar segera memakai alat pernafasan dan seterusnya bertindak memadam kebakaran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa kira-kira 3 minit.
Hadir di tempat kejadian ialah Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah; Stesen Komander Balai Bomba Bangar, SO Ishraqi bin Haji Sidup, dan anggota Balai Polis Bangar.
Tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan semasa kejadian manakala itu, punca api dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.