DHAKA, 20 MEI – Sebuah pesawat Turkish Airlines melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pagi tadi, beberapa minit selepas berlepas, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Penerbangan TK-713 menuju ke Turkiye dan membawa 290 penumpang berlepas pada 7 pagi, namun terpaksa berpatah balik selepas enjin kedua pesawat terbakar akibat terlanggar kawanan burung, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Team TK Dhaka.
Menurut sumber lapangan terbang, juruterbang membuat keputusan melakukan pendaratan cemas selepas menyedari kebakaran pada enjin dan menghabiskan baki bahan api dengan berlegar-legar di udara bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
Pesawat berkenaan akhirnya mendarat dengan selamat pada 8:15 pagi tadi.
“Kami mengesahkan bahawa semua penumpang, anak kapal dan pesawat berada dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, pesawat memerlukan kerja pembaikan dan proses itu dijangka mengambil sedikit masa,” menurut kenyataan itu. – Bernama
