Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Epal, buah pelindung tubuh

    RAMAI orang sering kali terlupa bahawa penyelesaian mudah terhadap masalah kesihatan adalah semudah memakan sebiji buah. Ambillah buah epal sebagai contohnya.

    Banyak kebaikan yang mampu diberikan oleh buah yang berasal dari timur Eropah dan barat daya Asia ini.

    Buah yang dikenali dengan nama saintifiknya Malus pumila ini kemudiannya telah tersebar ke kebanyakan kawasan bersuhu sederhana di dunia. Selama berkurun, kebanyakan hibrid dan kultivar baru telah terhasil sekali gus menjadikan kini terdapat lebih kurang 7,000 variasi di pasaran.

    Dikatakan sebiji epal bersaiz sederhana mengandungi lebih kurang 95 kalori dan 25 gram karbohidrat.

    Ia turut memiliki sejumlah empat gram serat. Khasiat lain yang terdapat dalam sebiji epal bersaiz sederhana adalah vitamin C, kalium, vitamin K, mangan, tembaga, vitamin A, vitamin E, B1, B2 dan B6. Buah ini turut kaya dengan sumber polifenol.

    Antara hidangan yang boleh disediakan daripada epal adalah pai epal.
    Antara hidangan yang boleh disediakan daripada epal adalah pai epal.

    Banyak kebaikan untuk kesihatan yang boleh diberikan epal kepada tubuh manusia.

    Mengurangkan berat badan

    Epal tinggi serat dan air iaitu dua kualiti yang menjadikan buah ini mengenyangkan. Dalam satu kajian yang telah dijalankan menunjukkan peserta yang makan sepotong epal sebelum makan akan berasa lebih kenyang daripada mereka yang mengambil jus epal atau produk bukan epal.

    Dalam satu kajian lain pula mendapati, mereka yang makan sepotong epal ketika baru mula makan mengambil kira-kira 200 kurang kalori daripada mereka yang tidak memakan epal.

    Menyihatkan jantung

    Buah ini telah dikaitkan dengan merendahkan risiko penyakit jantung.

    Salah satu sebabnya adalah epal mengandungi serat mudah larut yang boleh membantu merendahkan tahap kolesterol darah.

    Ia turut mengandungi polifenol yang memiliki kesan antioksidan di mana kebanyakannya tertumpu pada kulitnya. Salah satu polifenol adalah flavonoid yang dikenali sebagai epicatechin yang boleh merendahkan tekanan darah.

    Merendahkan risiko diabetes

    Banyak kajian telah mengaitkan memakan epal dengan merendahkan risiko diabetes tahap 2. Dalam satu kajian mendapati memakan epal sebiji sehari telah dikatikan dengan 28 peratus merendahkan risiko diabetes tahap 2.

    Malah dikatakan memakan beberapa biji epal seminggu turut memiliki kesan perlindungan yang sama.

    Semua itu mungkin berikutan dengan polifenol dalam epal membantu mencegah daripada kerosakan tisu pada sel-sel beta dalam pankreas. Sel-sel beta menghasilkan insulin dalam tubuh dan kerap rosak pada pesakit diabetes tahap 2.

    Memiliki kesan prebiotik

    Epal mengandungi pektin, sejenis serat yang bertindak sebagai prebiotik.

    Ini bermakna ia menyediakan bakteria baik dalam usus, usus kecil tidak menyerap serat semasa pencernaan.

    Individu yang makan sepotong epal ketika baru mula makan dikatakan mengambil kira-kira 200 kurang kalori sekaligus boleh menjaga amalan pemakanan sihat.
    Individu yang makan sepotong epal ketika baru mula makan dikatakan mengambil kira-kira 200 kurang kalori sekaligus boleh menjaga amalan pemakanan sihat.
    Sebatian antioksidan dan antikeradangan yang terdapat dalam epal mampu merangsang kesihatan tulang.
    Sebatian antioksidan dan antikeradangan yang terdapat dalam epal mampu merangsang kesihatan tulang.

    Sebaliknya ia terus ke usus besar yang akan merangsang pertumbuhan bakteria baik. Ia turut bertukar kepada sebatian berguna yang tersebar semula ke seluruh tubuh.

    Mencegah kanser

    Ada juga beberapa kajian yang mengaitkan memakan epal dengan merendahkan risiko kanser. Paling spesifik, kajian menggunakan ujian tiub mendapati bagaimana sebatian tumbuhan ini boleh menentang kanser.

    Di samping itu terdapat juga kajian yang mendapati ia mampu untuk merendahkan risiko kanser dalam pelbagai cara termasuklah kesan antioksidan dan anti keradangan.

    Menentang asma

    Epal kaya dengan antioksidan ini boleh membantu untuk melindungi paru-paru daripada kerosakan oksidatif.

    Kulit epal mengandungi flavonoid yang dikenali sebagai quercetin yang boleh membantu mengatur sistem imun dan mengurangkan keradangan. Ini adalah dua cara yang dapat memberikan kesan pada tindak balas asma dan alahan.

    Menguatkan tulang

    Sebatian antioksidan dan anti keradangan yang terdapat dalam epal mampu merangsang kesihatan tulang. Memakan buah epal dapat membantu mengekalkan kepadatan tulang apabila anda semakin berusia.

    Melindungi terhadap kecederaan perut daripada NSAID

    Ubat penahan sakit yang dikenali sebagai ubat antikeradangan (NSAID) bukan steroid boleh mencederakan lapisan dalam perut.

    Epal mengandungi sebatian boleh membantu melindungi lapisan perut daripada kecederaan berikutan dengan pengambilan ubat penahan sakit NSAID.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda