Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Epic Games saman Google, Samsung

    SAN FRANCISCO, 30 SEPT – Pembuat Fortnite, Epic Games mengumumkan hari ini, ia telah menyaman gergasi teknologi Google dan Samsung, dengan menuduh kedua-duanya bersubahat secara haram untuk menyekat persaingan pada peranti Samsung.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Sweeney, berkata syarikatnya akan memfailkan tuntutan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) di California, bidang kuasa yang sama di mana syarikat itu memenangi pertikaian undang-undang selama bertahun-tahun dengan Google pada 2023.

    Dia berkata akan berusaha untuk menghadapkan kepada pihak berkuasa di Eropah dan Asia jika perlu, berikutan pertikaian yang sudah lama berlaku untuk memaksa Apple dan Google membuka telefon pintar mereka di kedai aplikasi lain.

    “Ia adalah pertikaian global yang utama, semata-mata untuk kepentingan hak pengguna bagi mendapatkan semua faedah persaingan dan memilih secara bebas dengan siapa mereka mahu berniaga,” kata Sweeney kepada pemberita.

    Tuntutan terbaharu memfokuskan pada ciri Penyekat Auto Samsung.

    Epic mendakwa ciri tersebut dilaksanakan dalam penyelarasan dengan Google untuk menjejaskan keputusan mahkamah AS baru-baru ini terhadap amalan App Store Google.

    Berikutan keputusan itu, Epic pada Ogos lalu telah melancarkan App Storenya sendiri, yang membolehkan pengguna memintas kedai yang dikendalikan Google dan menawarkan kandungan terus kepada pengguna telefon pintar.

    Epic mendakwa penyekat auto secara rahsia menyekat App Store baharu termasuk yang lainnya dengan menghalang keupayaan untuk memasang aplikasi daripada sumber selain daripada kedai Google Play dan Samsung Galaxy. – AFP

    Gambar bertarikh 20 Jun 2023 menunjukkan logo Epic Games pada skrin telefon mudah alih di hadapan logo Apple di Ankara, Turkiye. – Anadolu
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda