VALENCIA, 10 Mei – Liga Perdana Inggeris menandakan kepulangannya ke dalam penguasaan bola sepak Eropah setelah pasukannya menyapu bersih final kejohanan benua itu dimulakan dengan Liverpool dan Hotspur untuk Liga Juara-Juara dan Arsenal serta Chelsea untuk Liga Europa.
The Gunners menempah tiket ke final Liga Europa bertemu Chelsea selepas gol hatrik Pierre-Emerick Aubameyang mengakhiri harapan Valencia dalam satu perlawanan dramatik, awal pagi ini.
Ketinggalan agregat 3-2 daripada perlawanan pertama, Valencia bermula baik di Stadium Mestalla apabila Kevin Gameiro menjaringkan gol pembukaan sebelum Aubameyang dan Alexandre Lacazette masing-masing menjaringkan satu gol dalam tempoh 40 minit selepas itu.
Gameiro kemudian meledak sekali lagi, dengan memberi harapan untuk memperoleh kejayaan sebelum Aubameyang menjaringkan gol keduanya dan melengkapkan hatrik bagi memastikan kemenangan 4-2 dalam perlawanan timbal balik itu dan mara dengan agregat 7-3.
Dua pertembungan pasukan London akan berlangsung dalam final di Baku pada 29 Mei ini yang juga julung kali berlaku dalam sejarah kejohanan.
Selain di Liga Europa, final Liga Juara-Juara juga akan menampilkan dua pasukan dari England apabila Liverpool dan Spurs akan bertemu di Madrid, tiga hari kemudian.
Kemenangan di Sepanyol memberi harapan buat Arsenal untuk beraksi di Liga Juara-Juara pada musim hadapan, yang juga peluang terakhir mereka yang kini ketinggalan tiga mata di belakang Tottenham dan dengan perbezaan lapan jaringan di kedudukan Liga Perdana.
“Kami tidak dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (Liga Perdana) tetapi ini adalah satu lagi cara,” kata jurulatih Arsenal, Unai Emery.
“Objektif kami adalah jelas untuk ke Liga Juara-Juara tetapi juga trofi ini. Ia tidak mudah.” Valencia juga sebelum ini mengharapkan gelaran Liga Europa bagi memberi mereka tiket ke Liga Juara-Juara selepas mereka ketinggalan tiga mata di belakang Getafe, yang akan bertemu Barcelona pada Ahad ini dengan aksi La Liga berbaki dua perlawanan.
Sementara itu, Kepa Arrizabalaga layak dilabel sebagai wira Chelsea apabila penjaga gol Sepanyol itu menyelamatkan dua sepakan penalti ketika Blues menyingkirkan Eintracht Frankfurt 4-3 dan mara ke final Liga Europa, juga awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi separuh akhir kedua di Stamford Bridge itu menyaksikan skuad kendalian Maurizio Sarri akan bertemu seteru tetangga London, Arsenal di pentas final di Baku 29 Mei ini.
Selepas mendahului permainan menerusi jaringan Ruben Loftus-Cheek, wakil Jerman Frankfurt kembali menyamakan kedudukan menerusi Luka Jovic selepas rehat dan perlawanan kekal 1-1 sehingga masa tambahan yang mengheret aksi ke penentuan penalti selepas kedudukan agregat terikat 2-2.
Sekali pun penalti Cesar Azpilicueta diselamatkan oleh Kevin Trapp, Kepa membuktikan kemampuannya dengan menghalang sepakan Martin Hinteregger sebelum mengecewakan Goncalo Paciencia dengan Eden Hazard melengkapkan kejayaan tuan rumah.
Ia jelas tempoh yang melegakan buat Kepa selepas dia dikritik teruk susulan sikap yang ditampilkan olehnya ketika final Piala Liga menentang Manchester City apabila enggan digantikan sebelum mereka tewas menerusi penentuan penalti. Hazard juga lega dengan sumbangan yang diberikan kepada pasukan pada perlawanan yang mungkin menjadi aksi terakhirnya di Stamford Bridge selepas kuat dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke Real Madrid.
“Saya hanya berfikir untuk memenangi sesuatu bagi kelab ini,” kata Hazard ketika ditanya adalah aksi final akan menjadi perlawanan untuk Chelsea.
“Jika ia adalah perlawanan terakhir saya akan melakukan apa saja. Dalam fikiran saya, saya masih belum tahu.”
Selepas mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara menerusi tiket Liga Perdana minggu lalu, menjulang trofi Liga Europa pasti membawa kegembiraan buat Sarri yang menempuh kempen penuh bermasalah pada musim pertamanya bersama Blues.
Bekas pengurus Napoli itu menegaskan pasukannya ‘layak’ untuk memenangi trofi musim ini dan pengendali dari Itali itu hanya selangkah lagi untuk melakukannya. – AFP