Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    EPR diharap jadi ‘senjata’ kawal gelombang sisa plastik

    KUALA LUMPUR – Di sebuah tapak pelupusan haram di Kapar, Selangor, dengan timbunan sampah setinggi bangunan dua tingkat memenuhi kawasan sekurang-kurangnya seluas lima padang bola, kelihatan dua remaja lelaki leka menguis-nguis longgokan sisa buangan dengan kayu.

    “Saja cari barang untuk kitar semula,” kata remaja yang lebih tua. Enggan namanya didedahkan, dia yang berusia 15 tahun dan adiknya, 13, mencari barang yang boleh dikitar semula di tapak pelupusan itu sebagai pendapatan sampingan.

    Di atas tanah berhampiran mereka, terdapat beberapa karton Tetra-Pak yang langsung tidak dipedulikan oleh dua beradik itu.

    Kata mereka, pek tersebut tidak ‘laku’. Malah, mereka memang tidak mempedulikan kebanyakan pembungkus barangan mudah guna seperti kotak minuman dan pek isian semula yang bersepah di situ.

    Yang dilakukan oleh dua remaja ini ialah mereka digelar pengutip sampah tidak formal dan memainkan peranan penting dalam ekonomi kitaran Malaysia, merupakan perkara biasa.

    Longgokkan kotak-kotak kosong, peralatan elektrik, kerusi dan meja kelihatan memenuhi di satu sudut pembuangan sampah ketika tinjauan ke sebuah kediaman. – Bernama
    Dua sukarelawan, Louise Wong (kanan) dan Sanggita K Seppa mengasingkan dan menimbang barang-barang yang boleh dikitar semula. – Bernama
    Bekas minuman dan makanan, detergen serta bungkusan penghantaran – lazimnya dianggap terlalu mahal atau sukar untuk dikitar semula. – Bernama

    Tanpa pihak yang mengutip bahan pembungkusan Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) seperti bekas minuman dan makanan, detergen serta bungkusan penghantaran, lazimnya dianggap terlalu mahal atau sukar untuk dikitar semula, bagi tujuan kitar semula, kebanyakan barangan terbabit berakhir di tapak pelupusan sampah atau tapak pembuangan haram.

    Untuk menyelesaikan isu ini, Malaysia sedang memuktamadkan undang-undang Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) yang memerlukan pengeluar mengambil balik sebahagian daripada pembungkusan yang dikeluarkan mereka di pasaran untuk dikitar semula, selain memastikan pembungkusan yang dihasilkan mereka turut mengandungi bahan boleh dikitar semula.

    Akan tetapi, ketika Malaysia mengorak langkah ke arah pelaksanaan, pakar dan aktivis alam sekitar memberi amaran penyelesaian itu mungkin tidak mencapai matlamat yang dihasratkan.

    Mereka seharusnya tahu hal itu, kerana dulu polimer pertama juga dicipta untuk menyelamatkan alam sekitar.

    PLASTIK DICIPTA UNTUK SELAMATKAN ALAM SEKITAR

    Ironinya, kewujudan plastik sebenarnya berpunca daripada usaha dunia untuk mengehadkan kerosakan yang dilakukan manusia terhadap alam semula jadi.

    Pada 1869, keinginan mendesak untuk menyelamatkan gajah daripada pemburuan besar-besaran demi menghasilkan bola biliard daripada gading telah membawa kepada satu penemuan yang kemudiannya mendefinisikan era moden iaitu plastik, yang diperbuat daripada bahan api fosil.

    Selama beberapa dekad, populariti dan reputasi plastik meningkat, dilihat sebagai satu cara untuk menyelamatkan pokok dan sumber asli lain seperti kertas, kaca, dan logam.

    Malah, plastik turut membolehkan lebih ramai orang mendapat akses kepada barangan yang sebelum ini sukar untuk diangkut.

    Namun, seperti makhluk ganas yang akhirnya ‘membaham’ penciptanya, demikian juga dengan plastik. Tidak seperti produk semula jadi, plastik tidak terurai walaupun selepas beratus-ratus tahun dan menjelang 1970an, plastik tidak lagi menjadi pilihan meskipun penggunaannya tidak berkurangan.

    Laporan yang membuktikan kesan buruk aktiviti pengekstrakan dan pengeluaran plastik ke atas kesihatan juga telah disahkan.

    Kemudian kitar semula diperkenalkan, namun hingga kini kadar aktiviti ini kekal di bawah 10 peratus sekalipun pengeluaran plastik telah meningkat daripada dua megatan metrik pada 1950 kepada 475 megatan pada 2022.

    Menurut laporan The Lancet Countdown berkenaan kesihatan dan plastik yang diterbitkan awal bulan ini, plastik mengancam jangka hayat manusia, dan setakat ini terdapat kira-kira 8,000 megatan metrik plastik mencemari bumi.

    “Sekarang sudah jelas yang dunia tidak dapat bebas daripada pencemaran plastik melalui kitar semula,” kata penulis laporan Dr Phillip J Landrigan, pengarah Global Observatory on Planetary Health di Boston College, Amerika Syarikat.

    UNDANG-UNDANG YANG MENGALIH TANGGUNGJAWAB

    Bagaimanapun di Malaysia, kerajaan dengan sokongan pemain industri dan Malaysian Recycling Alliance Bhd (MAREA), masih belum berputus asa terhadap inisiatif usaha kitar semula dengan sasaran meningkatkan kadar aktiviti itu menggunakan EPR.

    Tanggungjawab itu boleh menjadi menyeluruh. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), satu daripada entiti yang bertanggungjawab menggubal undang-undang EPR, berkata dalam satu kenyataan kepada Bernama bahawa mereka sedang memuktamadkan kerangka EPR yang akan mewajibkan syarikat-syarikat berkaitan mengambil tanggungjawab terhadap pembungkusan plastik pascapengguna.

    Menurut KPKT lagi, fasa pertama EPR akan dilaksanakan atas dasar sukarela pada 2026 sebelum diwajibkan menjelang 2030.

    “Fasa awal pelaksanaan EPR akan memberi fokus kepada enam jenis pembungkusan, iaitu plastik, kertas, aluminium, gelas, logam ferus dan karton sebelum diperluaskan kepada bahan-bahan lain seperti bahan pembungkusan campuran, getah, tekstil dan sisa-sisa baru muncul,” kata kementerian itu.

    KPKT juga berkata EPR akan meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia yang menurut data kerajaan berjumlah 37.9 peratus pada 2024.

    KADAR MELANGIT, PERKIRAAN SAMAR

    Kadar kitar semula Malaysia sepatutnya telah meningkat daripada 35.48 peratus pada 2023 dengan plastik meliputi hampir 40 peratus daripada bahan yang diambil semula, menurut data kerajaan. Namun tidak semua orang percaya dengan angka itu.

    “Angka itu luar biasa tinggi,” kata Landrigan kepada Bernama dalam temu bual melalui Zoom.

    “Di peringkat global, kadar kitar semula purata untuk plastik ialah lapan peratus. Di Eropah barat, di mana kitar semula diberi penekanan bersungguh-sungguh pun hanya mencatat 14 atau 15 peratus.”

    Beliau berpendapat angka rasmi mungkin meliputi kategori melangkaui kitar semula sebenar.

    Sekalipun Malaysia mencapai matlamat pengambilan semula 40 peratus, Landrigan berkata pencapain itu mungkin bersifat ilusi.

    Tidak seperti tanggapan umum, kebanyakan barang yang dihantar untuk dikitar semula mungkin tidak dikitar semula.

    Pengeluar plastik dan pengusaha kitar semula memberitahu Bernama, selalunya mereka terpaksa menolak bahan yang dihantar untuk dikitar semula disebabkan oleh pencemaran, khususnya bekas makanan. Isu lain ialah bekas pelbagai lapis seperti cawan kopi yang diperbuat daripada kadbod dengan lapisan plastik nipis di sebelah dalam.

    Pihak industri berpendapat EPR akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam pembinaan kemudahan pemulihan dan kitar semula yang amat diperlukan oleh Malaysia, seterusnya akan meningkatkan jumlah barang dikitar semula.

    Benetello daripada MAREA memberitahu Bernama selalunya isu bukan kerana barang tidak dapat dikitar semula tetapi Malaysia tidak ada teknologi dan kemudahan untuk
    mengendalikan bahan sukar dikitar semula itu.

    Katanya kitar semula secara kimia, proses yang lebih rumit dan menelan belanja tinggi bagi mengasingkan bahan-bahan untuk dikitar semula, sepatutnya mampu menangani produk kompleks terbabit, namun Malaysia tidak ada fasiliti sedemikian.

    Pada 2023, projek rintis MAREA mengumpulkan kira-kira 3,000 tan metrik bahan boleh kitar semula; tahun ini sekitar 4,000 tan metrik. Jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada lebih sejuta tan metrik sisa plastik dijana negara ini saban tahun.

    CARA KERAJAAN MENGIMBANGI

    Sementara itu, pegawai KPKT berkata mereka tidak menutup mata terhadap langkah huluan. Pelan Induk Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) oleh kementerian itu dengan jelas menggalakkan sistem guna semula dan reka bentuk mesra alam, bukan sekadar kitar semula.

    Plastik sekali guna kekal menjadi isu utama. Kementerian itu telah mengharamkan penggunaan bekas polisterina, mendesak pasar raya menerima guna beg beli-belah guna semula serta melancarkan kempen Kata Tidak Kepada Plastik Sekali Guna dengan lebih 7,600 outlet menyertainya.

    Akan tetapi buat masa ini, tumpuan masih pada EPR. KPKT memanggilnya ‘arah baharu’ yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap masa depan rendah karbon.

    Bagi Wong daripada C4 dan lain-lain, perkara itu kekal sebagai duri dalam daging buat mereka, dan mereka berkata EPR tidak akan dapat mencapai matlamatnya tanpa menangani pengeluaran plastik.

    “Bagaimana dengan kesihatan kita dan alam sekitar kita? Kalau kita asyik jatuh sakit dan kalau alam sekitar kita terus dicemari, dan Malaysia juga mendepani pencemaran plastik yang teruk, adakah masih berbaloi untuk kita teruskan seperti biasa hanya untuk
    melindungi kepentingan perniagaan?” soal beliau.

    Laporan The Lancet menganggarkan kos melibatkan kerosakan kesihatan manuasia akibat plastik mencecah sekurang-kurangnya AS$1.5 trilion setiap tahun di seluruh dunia, meliputi penyakit kanser hinggalah gangguan endokrin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda