LANGKAWI, 1 Mei – Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan disimpan sementara di jeti Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sini, telah belayar keluar dari pangkalan itu pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata kapal itu telah belayar dari pangkalan itu menuju ke Singapura.
“Pada Ahad lepas, kapal Equanimity telah belayar keluar dari jeti pangkalan tersebut menuju ke Singapura pada 2 petang.
“Pergerakan kapal Equanimity tidak diiringi Pasukan Polis Marin disebabkan kapal tersebut telah dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad dan bukan lagi aset kerajaan Malaysia yang diletakkan di bawah kawalan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kapal layar mewah itu berlabuh di pangkalan berkenaan sejak 14 November lepas bagi tujuan simpanan sementara sebelum dijual melalui proses bidaan.
Pada 3 April, Peguam Negara Tommy Thomas berkata kapal mewah itu dijual kepada Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta (RM521.18 juta) setelah mendapat kelulusan Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur.
Menurutnya, harga jualan AS$126 juta itu akan dibayar oleh Genting dan akan diterima Mahkamah pada hujung bulan April.
Pada 19 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah itu sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan boleh menjual kapal itu. – Bernama