MALABO, EQUATORIAL GUINEA, 26 JULAI – Negara tengah Afrika Equatorial Guinea mengumumkan hari ini ia akan menutup kedutaannya di London selepas Britain mengenakan sekatan ke atas anak lelaki presiden disebabkan dakwaan rasuah.
“Keputusan pertama yang diambil kerajaan adalah penutupan misi diplomatik kami di London,” beritahu Menteri Luar Simeon Oyono Esono kepada penyiar TVGE.
Beliau tidak memberikan butir lanjut mengenai bila keputusan akan berkuat kuasa.
“Kami tidak menerima campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara kami,” kata beliau, menyifatkan sekatan sebagai ‘mencabul prinsip undang-undang antarabangsa.’
Pada Khamis, Britain mengenakan sekatan ke atas Teodorin Nguema Obiang, naib presiden dan anak lelaki Presiden Equatorial Guinea Teodoro Obiang Nguema, kerana didakwa menyalurkan aset kerajaan kepada akaun banknya sendiri.
Pejabat Luar Britain berkata Obiang telah melakukan pengaturan kontrak yang korup dan menerima rasuah untuk membiayai gaya hidupnya yang mewah.
Beliau didakwa telah membelanja AS$500 juta ke atas kediaman mewah di seluruh dunia, kereta mewah dan koleksi memorabilia Michael Jackson termasuk sarung tangan kristal berharga AS$275,000 yang dipakai oleh penyanyi itu dalam jelajah ‘Bad’ pada 1987-89. – AFP