Era baharu telbru

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Industri telekomunikasi negara kini memasuki era yang lebih menarik bagi para pengguna dan bagi Telekom Brunei Berhad (TelBru), ia mencatatkan mercu tanda yang amat penting dalam sejarah penubuhannya apabila mengumumkan pelancaran anak syarikat, imagine, sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah menyediakan laluan bagi para pengguna tempatan untuk mencapai lebih banyak kemungkinan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Suzanna Suharju semasa sidang media mengenai imagine yang berlangsung di Rimba, hari ini yang menambah bahawa ia salah satu inisiatif syarikat berkenaan untuk terus mengorak langkah bagi memenuhi permintaan kesalinghubungan data yang terus meningkat daripada orang ramai.

Menurut Suzanna Suharju lagi, imagine merupakan satu permulaan kepada perjalanan yang amat menarik bukan sahaja bagi semua kakitangan dan pengurusan imagine tetapi ia juga merupakan transformasi bagi orang ramai serta para pengguna di mana mereka akan dapat menikmati pelbagai tawaran produk-produk yang menarik dan kompetitif.

Menyentuh mengenai nama yang dipilih, imagine, Suzanna berkata ia memberi erti yang meluas dari segi potensinya di mana ia memberikan inspirasi bagi kreativiti, kebebasan dan peluang-peluang tanpa batasan dengan syarikat itu berusaha ke arah era baharu dan pada masa yang sama, membina di atas asas yang merangkumi pengalaman menjangkau 67 tahun sejak penubuhan badan telekomunikasi pertama di Brunei pada 1952.

Di samping itu, Suzanna berkata, pihaknya amat menekankan sikap keterbukaan kepada pelanggan mereka di mana mereka terbuka menerima maklum balas dan mendengar permintaan daripada pengguna serta orang ramai bagi menyediakan pakej, perkhidmatan dan produk yang memenuhi kehendak setiap individu berkenaan.

Suzanna Suharju semasa sidang media mengenai imagine yang berlangsung di Rimba.
Suzanna (tengah) menerajui pasukan pengurusan imagine yang bersemangat dan berwawasan ke era baharu industri telekomunikasi negara.

Semasa sidang media berkenaan juga, Suzanna turut memperkenalkan beberapa orang pegawai pengurusan imagine di antaranya ialah Naib Presiden IT, Radziman Rahman; Naib Presiden Pemasaran, Dona Johan; Naib Presiden Pengalaman Pelanggan, Irshad Ahmad; Naib Presiden Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan, Anna Clanchy; dan Ketua Pegawai Operasi, David Indres Chetty.

Suzanna berkata bahawa di imagine, misi mereka adalah untuk memperkasa warga Brunei dengan membayangkan pelbagai kemungkinan, mencipta dan mengalami sendiri apa yang boleh dicapai dalam kehidupan peribadi serta profesional mereka.

Mereka akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar supaya para pengguna dapat meneroka pelbagai kemungkinan dalam kehidupan dan pilihan teknologi mereka bukan sahaja di rumah dan di tempat kerja tetapi juga di mana saja mereka bergerak.

Semua itu, ulasnya lagi adalah selaras dengan visi imagine iaitu untuk menjadi salah sebuah penggerak transformasi di Brunei dengan membawa orang ramai dan perniagaan untuk bergerak maju ke masa hadapan.

Menyentuh mengenai hala tuju imagine, Suzanna menerangkan bahawa mereka akan terus memberikan tumpuan kepada memberikan yang terbaik kepada pelanggan mereka di mana semua yang dilakukan oleh mereka adalah bagi pelanggan dan sedia mendengar cadangan daripada pelanggan-pelanggan.

Dengan peluang baharu itu, imagine menetapkan pandangannya ke arah meneroka perjalanan bersama dengan pelanggannya.

Selain daripada memberikan tumpuan kepada produk dan perkhidmatannya, imagine juga akan memberikan penekanan kepada tanggungjawab sosial korporatnya yang selaras dengan visi dan misi syarikat itu iaitu untuk memperkasa warga Brunei bagi masa hadapan.

Dengan semua perubahan dan pembaharuan yang dilalui, jelas Suzanna, ia memberikan peluang kepada imagine untuk berubah menjadi sebuah organisasi yang bersemangat namun pada masa yang sama, terus menghormati masa lalunya dengan mengekalkan warna-warnanya kerana ia merupakan satu peringatan kepada mereka mengenai asal usul, cabaran yang dilalui, keberadaan mereka ketika ini dan yang paling penting sekali adalah di mana mereka ingin berada pada masa akan datang.

Di samping menyentuh mengenai dengan perancangan masa hadapan imagine, Suzanna berkata setentunya matlamat syarikat berkenaan adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi pelanggan mereka di Brunei dan setentunya harapan pada masa hadapan adalah untuk meneroka ke pasaran serantau serta juga pasaran antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada perjalanan yang menarik bagi imagine, kesemua cawangan TelBru akan mula membawa penjenamaan imagine di mana ia juga merangkumi transformasi berterusan menerusi platform media sosial, rekaan bil, laman sesawang dan aset-aset lainnya.