Era penerbangan masa depan

SINGAPURA – Kru kabin dalam sut perlindungan, sijil kesihatan untuk penumpang, penutup mulut dan hidung wajib, dan masa mendaftar masuk yang lebih lama.

Inilah realiti perjalanan udara baharu. Tatkala orang berhasrat mengadakan perjalanan udara sekali lagi, mereka menghadapi prospek bahawa perubahan untuk mengawal penularan koronavirus akan menjadi lebih mencabar berbanding peraturan yang diperkenalkan selepas serangan keganasan 2001 di Amerika Syarikat.

Selain langkah keselamatan ketat yang dikuatkuasakan di seluruh dunia sejak itu, penumpang kini akan berdepan beberapa pemeriksaan diri untuk COVID-19.

“Sebelum pandemik, kami diberitahu supaya tiba dua jam sebelum penerbangan. Kali ini kami terpaksa berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas,” kata warga Indonesia Suyanto selepas mengambil perjalanan domestik pada akhir Mei.

Terdapat pelbagai barisan dan pemeriksaan sebelum beliau boleh daftar masuk di lapangan terbang, tambahnya.

Penumpang mendaftar masuk untuk penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 8 Jun 2020 apabila Singapura membuka semula sempadannya. – AFP
Penumpang beratur dalam jarak selamat ketika mereka menunggu bersama bagasi sebelum mendaftar masuk untuk penerbangan di Lapangan Terbang Larnaca Cyprus pada 9 Jun 2020. – AFP
Penumpang menunjukkan dokumen mereka untuk diperiksa sebelum menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Tangerang berhampiran Jakarta pada 4 Jun 2020. – AFP

Penumpang dalam negara mesti mengisytiharkan sebab-sebab mengadakan perjalanan, menunjukkan dokumen untuk membuktikan mereka bebas virus, menjalani beberapa pemeriksaan, dan memberikan butir-butir tentang pergerakan mereka sebaik sahaja tiba.

“Ia lebih memenatkan dan mahal. Dengan peraturan ketat ini, saya fikir orang akan berfikir dua kali sebelum memulakan perjalanan,” kata lelaki berusia 40 tahun itu, yang terpaksa membayar dua kali ganda tambang untuk penerbangan dekat kerana beberapa tempat duduk dibiarkan kosong untuk penjarakan sosial.

Tatkala industri penerbangan berusaha mencari jalan lebih baik, pakar mengingatkan impak pandemik adalah meluas.

‘9/11 mewujudkan persekitaran baharu untuk keseluruhan industri perjalanan dari segi keselamatan,” jelas Shukor Yusof dari Endau Analytics di Malaysia.

Sementara kesan sampingan daripada serangan 2001 boleh digunakan sebagai ‘petunjuk’ tentang apa yang dijangkakan, cabaran COVID-19 adalah ‘peristiwa global yang jauh lebih serius,’ kata beliau.

Agensi penerbangan awam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah merangka satu set garis panduan untuk penerbangan selamat ekoran pandemik, daripada pemakaian penutup mulut dan hidung wajib kepada disinfektan kawasan di mana orang mempunyai kontak.

Di samping itu, badan industri Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah mencadangkan kerajaan mengumpul data penumpang – termasuk maklumat kesihatan – sebelum perjalanan, dan akses ke lapangan terbang dihadkan kepada kakitangan dan penumpang pada hari yang sama.

Langkah lain yang digariskan dalam garis panduan mereka termasuk mereka semula kawasan pintu masuk untuk mengurangkan kesesakan, prosedur pengambilan bagasi yang lebih cepat dan lancar, malah ‘melarang barisan untuk ke tandas’ demi mengehadkan interaksi penumpang.

“Krisis COVID-19 adalah gangguan terbesar dalam sejarah industri penerbangan. Pemulihan akan mengambil masa yang lama dan perlahan.” Beritahu Albert Tjoeng, jurucakap serantau untuk IATA, kepada AFP.

Pelaksanaan peraturan baharu telah pun terbukti mencabar – dan kelam-kabut.

Sementara beberapa syarikat penerbangan AS mewajibkan penutup mulut dan hidung dipakai dalam penerbangan, ia terbukti sukar untuk menguatkuasakan peraturan ini jika penumpang enggan berbuat demikian.

Di India, yang meneruskan penerbangan domestik pada minggu lalu, beberapa kru kabin memakai sut perlindungan dengan penutup mulut dan hidung, visor plastik dan sarung tangan getah biru, menurut laporan media, tidak mempunyai idea sama ada mereka sepatutnya dikuarantin selepas penerbangan.

Lapangan terbang Mumbai melaksanakan peraturan penjarakan sosial tetapi ia menemui kegagalan apabila penumpang marah bertengkar dengan kakitangan selepas penerbangan dibatalkan pada saat-saat terakhir.

Langkah yang paling hangat diperdebatkan dalam industri adalah sama ada meninggalkan tempat kosong.

Japan Airlines dan Delta adalah antara syarikat penerbangan yang berbuat demikian tetapi Michael O’Leary, bos syarikat penerbangan tambang murah Ireland Ryanair, berkata idea tersebut adalah ‘bodoh’ dan akan menghalang firmanya daripada memperoleh keuntungan.

Kemunculan COVID-19, yang pertama dilaporkan di China pada tahun lalu dan telah menjangkiti lebih daripada tujuh juta orang di seluruh dunia, melumpuhkan perjalanan udara dengan seluruh armada kapal terbang terkandas dan pembuangan pekerja besar-besaran.

IATA meramalkan syarikat penerba-ngan antarabangsa akan mencatat kerugian bersih berjumlah lebih AS$84 bilion pada tahun ini.

“Kami tidak tahu bagaimana keadaan trajektori pemulihan ini,” kata ketua eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong, selepas syarikat penerbangan melaporkan kerugian tahun penuh pertama dalan sejarah 48 tahun.

Terdapat beberapa tanda-tanda pemulihan apabila ekonomi besar membatalkan lockdown, dengan IATA merujuk kepada pertumbuhan dalam jumlah penerbangan dari April hingga Mei, tetapi penerbangan nampaknya akan bergelut untuk kembali ke tahap sebelum virus.

Peraturan yang dikenakan oleh negara pada peringkat berlainan dalam mengatasi wabak mereka mengelirukan pengguna untuk merancang cuti atau melawat keluarga di luar negara.

Sesetengah negara mengekalkan pengharaman ke atas perjalanan dari negara yang terjejas teruk atau memerlukan orang menjalani kuarantin selepas tiba, biasanya untuk tempoh 14 hari.

Negara yang telah mengawal virus sedang menimbang untuk mewujudkan ‘gelembung perjalanan’, atau perjanjian dengan tempat-tempat yang mempunyai lengkung wabak yang sama, namun ia memerlukan syarat-syarat yang membebankan.

‘Laluan segera’ untuk perniagaan penting dan perjalanan rasmi di antara beberapa kawasan China dan Singapura telah pun dilancarkan, tetapi pengunjung memerlukan tajaan dan perlu menjalani ujian virus sebelum berlepas dan apabila tiba.

Ramai yang sebelum ini mengadakan penerbangan kerap mungkin memilih tidak berbuat demikian buat sementara waktu ini.

Fazal Bahardeen, ketua eksekutif pakar perjalanan Islam di Singapura HalalTrip, memberitahu AFP: “Jika saya perlu melalui kesemua kerumitan tersebut, lebih baik saya tidak berjalan melainkan saya benar-benar terpaksa.” – AFP