Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Era penutupan besar-besaran’ ancam perniagaan di Jepun

    YACHIMATA – Kilang jentera Kiyoshi Hashimoto di luar Tokyo sepatutnya sibuk dengan industri.

    Namun, ia begitu sunyi sehingga awda boleh mendengar beliau berlatih alat muzik recorder.

    Usahawan berusia 82 tahun ini telah mewujudkan syarikatnya hampir 40 tahun lalu, tetapi walaupun sudah melepasi usia persaraan, beliau tidak mempunyai waris atau pembeli untuk perniagaan yang masih mempunyai pelanggan setia.

    Ini adalah masalah yang diberi amaran oleh kerajaan Jepun, boleh menjejaskan hingga sepertiga daripada semua perniagaan kecil di negara itu menjelang tahun 2025, dengan pengurangan dan penuaan penduduknya.

    “Semua ini akan menjadi sia-sia jika saya tutup sekarang,” kata Hashimoto, yang kilangnya di Yachimata, timur Tokyo, dipenuhi dengan meja kerja, meja gerudi dan bahagian kabinet.

    Kiyoshi Hashimoto, presiden kilang jentera J&A Sakura, menyemak senarai pelanggan syarikat di kilangnya di Yachimata, wilayah Chiba. – Gambar AFP
    Kiyoshi Hashimoto memainkan seruling di kilangnya di Yachimata, wilayah Chiba. – Gambar AFP
    Seorang pekerja yang bekerja di kilang jentera perusahaan swasta kecil J&A Sakura di Yachimata, wilayah Chiba. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Kiyoshi Hashimoto semasa bercakap tentang peralatan di kilangnya di Yachimata, wilayah Chiba. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Beliau pernah mempunyai puluhan pekerja, tetapi kini hanya mempunyai dua pekerja sembilan selepas mengurangkan operasi.

    Masalahnya sangat besar sehingga Jepun menghadapi ‘era penutupan besar-besaran’, kata Shigenobu Abe dari firma penyelidikan kebankrapan Teikoku Databank.

    Laporan kerajaan 2019 menganggarkan bahawa kira-kira 1.27 juta pemilik perniagaan kecil akan berusia 70 tahun ke atas menjelang 2025 dan tidak mempunyai waris.

    Trend itu boleh menghapuskan sehingga 6.5 juta pekerjaan dan mengurangkan saiz ekonomi Jepun sebanyak AS$166 bilion, amaran kajian tersebut.

    Pada tahun 2029, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi apabila golongan baby boomer mencapai usia 81 tahun, jangka hayat purata lelaki Jepun, yang membentuk majoriti daripada presiden-pesiden firma ini, menurut Teikoku Databank.

    “Kita pasti tahu bahawa banyak pekerja akan kehilangan mata pencarian mereka disebabkan perkara ini,” kata Abe kepada AFP.

    Tamparan hebat

    Sama seperti di tempat lain, perniagaan kecil di Jepun sering diwarisi oleh keluarga atau pekerja yang dipercayai.

    Tetapi keadaan ekonomi negara yang lembap berpanjangan menyebabkan perniagaan kecil tidak menarik minat golongan muda.

    Firma di kawasan luar bandar terus bergelut kerana lebih suka kepada kehidupan bandar dan trend pengurangan penduduk luar bandar yang semakin meningkat.

    Masalah tambahan adalah perasaan dalam kalangan warga emas Jepun bahawa menjual perniagaan keluarga kepada pihak luar adalah memalukan.

    Sesetengah membubarkan firma mereka berbanding mencari pembeli.

    Kerajaan Jepun telah menawarkan insentif yang besar untuk menggalakkan jualan dan sektor swasta juga turut terlibat untuk mencari pemodal dan perniagaan yang dijual.

    Syarikat BATONZ kini membuat lebih daripada 1,000 padanan setahun, meningkat daripada hanya 80 ketika ia dibuka pada 2018.

    Namun, ia hanya menjangkau sebahagian kecil daripada orang yang memerlukannya, kata presiden BATONZ, Yuichi Kamise.

    Gelombang penutupan akan membawa kepada kehilangan kepakaran khusus, perkhidmatan unik dan resepi restoran asal yang membentuk struktur sosial dan budaya Jepun, katanya.

    “Dari semasa ke semasa, apa yang menjadikan Jepun unik boleh hilang kerana kekurangan pengganti,” katanya.

    “Saya rasa ia akan memberi tamparan hebat kepada budaya Jepun dan daya tarikan Jepun sebagai destinasi pelancongan,” tambahnya.

    Ada yang merasakan bahawa trend itu menawarkan peluang untuk memperbaiki ketidakcekapan dan menyatukan perniagaan kecil yang hampir tidak dapat atau bertahan dengan subsidi.

    Hiroshi Miyaji, 50, pemilik Yashio Group, sebuah kumpulan logistik yang ditubuhkan oleh datuknya, telah mengambil alih pelbagai perniagaan.

    “Akan sentiasa ada pembeli untuk firma, dengan atau tanpa pengganti, yang mempunyai kekuatan unik, pengetahuan khas dan sumber manusia,” kata Miyaji, presiden generasi ketiga.

    Dibantu oleh BATONZ, beliau baru-baru ini membeli sebuah syarikat trak kecil daripada Ayako Suzuki yang berusia 61 tahun.

    Menunggu seseorang

    Suzuki melepaskan kerjaya korporatnya untuk membantu bapanya dengan perniagaan yang dimulakan pada tahun 1975.

    Tiada seorang pun daripada tiga pemandu firma itu mahu mengambil alih dan beliau diminta menyertai dan membantu bapanya, ketika itu berusia lewat 80an.

    Tetapi masalah dengan cepat bertimbun: wabak COVID melanda, pemandu pergi, trak memerlukan penyelenggaraan dan tidak lama kemudian, beliau menggunakan wang simpanannya untuk terus bertahan.

    “Saya mahu meneruskan perniagaan, sekurang-kurangnya semasa bapa saya masih hidup,” katanya kepada AFP.

    BATONZ menghubungkannya dengan Miyaji, yang berjanji untuk mengekalkan pekerja, pelanggan dan trak firma itu.

    “Saya lebih lega daripada sedih,” katanya. “Saya tidak terfikir syarikat kami mempunyai apa-apa nilai.”

    Kelimpahan perniagaan kecil mampu milik boleh menjadi rahmat bagi golongan muda yang ingin menceburi bidang tersebut.

    Antaranya ialah cef Rikuo Morimoto yang berusia 28 tahun. Apabila wabak itu menghalangnya daripada belajar di Itali, beliau menggunakan wang simpanannya untuk membeli kedai makan berusia empat dekad di Tokyo dan memulakan sebuah restoran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda