Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Era santai makan di luar yang bebas di New York kini berakhir

    NEW YORK – Meja makan di luar menyelamatkan ribuan restoran di Bandar New York daripada kemusnahan apabila mereka terpaksa menutup ruang makan dalaman semasa pandemik.

    Tetapi, selepas empat tahun menjalankan percubaan yang mengubah landskap jalanan di New York, sambil menjadikannya seakan-akan kafe kaki lima yang meriah seperti Paris atau Buenos Aires, era santai makan di luar yang bebas telah berakhir.

    Pada hujung minggu awal Ogos lalu, restoran-restoran mencapai tempoh akhir untuk memilih sama ada mematuhi peraturan yang ketat untuk persediaan meja makan di luar atau membongkarnya sepenuhnya, dan ribuan restoran memilih untuk merobohkan struktur tempat makan papan lapis yang tumbuh di jalan raya pada awal pandemik.

    Kurang daripada 3,000 restoran telah memohon tempat duduk di tepi jalan atau kaki lima di bawah sistem baharu itu, sebahagian kecil daripada 13,000 pertubuhan yang menyertai program Restoran Terbuka sementara sejak 2020, menurut data bandar raya.

    Datuk Bandar, Eric Adams berkata garis panduan baharu itu menangani aduan bahawa bangsal makan telah menjadi tarikan bagi tikus dan kekacauan, sambil mewujudkan proses permohonan yang lebih mudah yang akan memperluaskan akses kepada tempat makan di luar secara tetap.

    Pekerja merobohkan bangsal makan luar di luar restoran Bricolagedi daerah Brooklyn di New York pada 31 Julai lalu. – AP
    Seorang pekerja merobohkan bangsal makan luar. – AP
    Seorang pejalan kaki berhenti di kaki lima di sebelah bangsal makan luar di Caffe de Martini. – AP
    Pemilik Camila Soto berdiri di luar Caffe de Martini. – AP

    Tetapi ramai pemilik restoran berpendapat bahawa peraturan itu akan memberi kesan sebaliknya, memusnahkan sisa pandemik yang memberikan mereka kebebasan luar biasa untuk menukar tempat letak kereta menjadi sambungan ruang makan mereka tanpa sewa bilik.

    “Mereka telah menemukan pendekatan lain untuk melakukan satu perkara sambil mengatakan perkara lain,” kata Patrick Cournot, pengasas bersama Ruffian, sebuah bar di Manhattan. “Mereka secara asanya telah mengusir kami.”

    Struktur tempat makan yang diperbuat daripada papan lapis yang usang kelihatan muncul di jalan-jalan di Bandar New York tumbuh cepat pada awal pandemik.

    Dengan laluan pejalan kaki dan jalan raya yang sesak, bandar ini sebelum ini tidak dikenali dengan suasana makan di luar. Tetapi dengan pelanggan dilarang berkumpul di dalam bangunan selama beberapa bulan, bandar ini memberikan kebenaran kepada restoran untuk memperluaskan ruang makan mereka ke laluan pejalan kaki dan jalan raya awam.

    Bangsal sederhana untuk tempat duduk di luar tidak lama kemudian digantikan atau diperluaskan menjadi struktur yang lebih rumit, yang kekal berdiri lama selepas tempoh penjarakan sosial dan amalan membasmi kuman barangan runcit. Restoran menambah pasu tanaman, lampu berkelip-kelip, bunga dan lampu pemanas supaya orang ramai dapat menjamu selera di luar dengan baik semasa cuaca sejuk.

    Ruang makan luar yang lain muncul di dalam iglo yang dipanaskan, atau dengan tempat api terbuka dan di bawah bumbung bertingkat.

    Kini, struktur-struktur itu perlu mematuhi piawaian reka bentuk yang seragam, dengan bayaran pelesenan dan keluasan yang boleh mencecah ribuan dolar setahun, bergantung kepada saiz dan lokasi.

    Tetapi perubahan yang paling ketara, menurut banyak restoran, adalah keperluan untuk meruntuhkan bangsal di tepi jalan antara bulan Disember dan April setiap tahun.

    Itu adalah penghalang utama bagi Blend, sebuah restoran Latin Fusion di Queens yang pernah memenangi Anugerah Alfresco untuk penempatan luarannya yang cemerlang.

    “Saya faham mereka mahu mengekalkannya secara konsisten dan sebagainya, tetapi terlalu banyak kerja untuk perlu membongkarnya setiap musim sejuk,” kata pengurus Nicholas Hyde. “Kami bukan arkitek. Kami pengurus restoran.”

    Tempat duduk luar Blend yang berjumlah 60 tempat duduk menyelamatkan kami semasa pandemik dan kekal digunakan dengan baik oleh pengunjung yang “sejak pandemik
    hanya mahu dapat berseronok di luar,” kata Hyde.

    Tetapi selepas meneliti permohonan itu, mereka memutuskan untuk mengeluarkan struktur di tepi jalan, sebaliknya memilih untuk memohon tempat duduk di laluan pejalan kaki yang boleh kekal sepanjang tahun.

    Daripada 2,592 restoran yang telah memohon untuk program baharu itu, kira-kira separuh akan meninggalkan penyusunan tempat duduk di jalan raya dan memilih tempat duduk hanya di laluan pejalan kaki, menurut bandar itu.

    Karen Jackson, seorang guru, ingin makan tengah hari di kedai makan Gee Whiz di Tribeca, salah satu restoran yang merobohkan bangsal luarannya sebelum tarikh akhir.

    Jackson berkata dia mempunyai perasaan bercampur-baur, mengenangkan bagaimana minum kopi di luar dalam struktur itu adalah salah satu d pilihan hiburan yang tersedia pada awal pandemik.

    “Sesetengahnya sangat comel,” tetapi yang lain tidak menarik dan dipenuhi dengan tikus, kata Jackson.

    “Malangnya saya rasa tempat yang memiliki banyak wang dapat membina struktur yang comel namun tempat yang bergelut, pasti berdepan kesukaran,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda