BERLIN, 3 SEPT – Canselor Jerman, Olaf Scholz menolak cadangan rakan gabungan muda bahawa negara itu sepatutnya mempertimbangkan semula pilihan untuk menggunakan loji kuasa nuklear yang ditutupnya, dengan mengisytiharkan bahawa tenaga atom adalah ‘tidak berfaedah’ di Jerman.
Jerman menutup tiga reaktor nuklear terakhirnya pada April, menyelesaikan proses yang mendapat sokongan politik yang meluas selepas bencana reaktor nuklear Fukushima Jepun pada 2011. Tetapi ada yang berhujah untuk memikirkannya semula selepas harga tenaga melonjak akibat perang di Ukraine.
Antara mereka yang menggesa pertimbangan semula adalah anggota Demokrat Bebas, sebuah parti pro-perniagaan yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan Scholz.
“Minggu ini, kumpulan parlimen Demokrat Bebas meluluskan kenyataan dasar yang mengatakan bahawa ia mahu menghentikan pembongkaran loji tenaga nuklear yang masih sesuai untuk digunakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk bersedia menghadapi senario terburuk. Itulah satu-satunya cara kita untuk terus mampu bertindak dalam setiap situasi,” katanya.
Scholz menolak cadangan itu dalam satu temu bual dengan siaran radio Deutschlandfunk kelmarin.
“Tenaga nuklear sudah berakhir,” katanya. “Isu tenaga nuklear di Jerman adalah membazir. Sesiapa yang ingin membina loji kuasa nuklear baharu memerlukan 15 tahun dan perlu membelanjakan 15-20 bilion euro (AS$16.2-21.6 bilion) setiap satu.”
“Hakikatnya ialah dengan berakhirnya penggunaan tenaga nuklear, proses pembongkaran juga telah bermula,” dan sebarang perbincangan untuk menyambung semula penggunaan tenaga atom akan bermakna pembinaan stesen janakuasa baharu,” tekannya.
Beliau menegaskan rancangan untuk memenuhi keperluan masa depan ekonomi terbesar Eropah itu dengan mengembangkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan solar. – AP
