BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Untuk mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan guru-guru, kakitangan, ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa, para murid, penduduk kampung dan masyarakat, PIBG Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong telah mengadakan Sambutan Hari Keluarga Dr K, di sekolah berkenaan, hari ini.
Selain mengeratkan silaturahim sambil berhibur, acara berkenaan merupakan sambutan tahunan sekolah dengan memfokuskan perubahan mindset yang lebih positif, di mana setiap ahli keluarga bukan sahaja mengharapkan dan bergantung kepada ahli keluarga lain semasa senang malahan apabila ditimpa masalah dan musibah.
Sambutan hari keluarga sekolah berkenaan dimeriahkan dengan beberapa aktiviti didahului dengan sesi senamrobik yang berlangsung di petak cergas dan disertai oleh para warga sekolah, ibu bapa dan para pelajar serta para jemputan.
Seterusnya, acara diisikan dengan aktiviti permainan pesta ria, jualan dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik sumbangan ibu bapa dan guru.
