Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Dengan hasrat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persahabatan, rombongan pemain-pemain Bulu Tangkis Pengguna Dewan Lambak Kanan Negara Brunei Darussalam mengadakan kunjungan muhibah ke Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada 7 April lalu.
Lawatan selama tiga hari yang bermula pada 7 hingga 9 April itu diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat.
Menurut pengurus lawatan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Razak, lawatan tiga hari itu merupakan sebagai urutan daripada siri lawatan yang dibuat pada 2015 dan 2016 iaitu lawatan muhibah ke Pejabat Daerah Lawas, Persekutuan Labuan dan Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau menerangkan lagi bahawa rombongan berkenaan bertolak ke Bintulu pada 7 April lalu dengan menggunakan kenderaan melalui Miri, di mana perjumpaan muhibah diadakan pada malam, 7 April di Restoran Peace Garden Bintulu.
Hadir semasa majlis perjumpaan berkenaan ialah Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Yang Berbahagia Puan Hajah Hamdiah binti Haji Bakir, Pegawai Daerah Sebauh Bintulu, Desmond Ak Douglas As Jerukan dan pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Menurut Haji Ahmad, lawatan itu dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, persahabatan dan kekeluargaan di antara kedua-dua kumpulan dan negara yang berjiran dalam di kepulauan Borneo ini.
Di samping itu, perlawanan persahabatan di antara pemain-pemain Bulu Tangkis Pengguna Dewan Lambak Kanan Brunei Darussalam dengan Pasukan Bulu Tangkis Pejabat Residen Bintulu diadakan pada 8 April di Dewan Kelab Kidurong Bintulu dengan perlawanan dimenangi oleh pasukan dari Negara Brunei Darussalam dengan kiraan 13-1. Turut bermain bersama ketua rombongan ialah Pegawai Daerah Sebauh Bintulu.
Sementara itu pada malam 8 April, majlis jamuan malam perpisahan yang disediakan oleh pihak Pejabat Residen Bahagian Bintulu diadakan 900 Inn Jalan Tanjung Batu Bintulu dengan dihadiri oleh Timbalan Residen Bintulu, Puan Hajah Hamdiah binti Haji Bakri, Pegawai Daerah Sebauh bersama-sama Yang Mulia Dato Pemanca dan Ketua-ketua Masyarakat Bahagian Bintulu dan Pegawai Perhubungan Lawatan, Abd Hadi bin Haji Julaihi.
Majlis diakhiri dengan pertukaran cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan di antara kedua belah pihak, ucapan Puan Timbalan Residen Bahagian Bintulu dan Ucapan terima kasih daripada pihak rombongan oleh Haji Ahmad.
Rombongan pemain-pemain Bulu Tangkis Pengguna Dewan Lambak Kanan Brunei Darussalam meninggalkan Bandar Bintulu pada 9 April dengan banyak kenangan dalam memantapkan persahabatan dan kekeluargaan.