BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Dalam mendekatkan anggota polis bersama masyarakat melalui aktiviti keagamaan, Balai Polis Pusat bersama Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Rimba dan Kawasan 1 STKRJ Tungku Mukim Gadong ‘A’ telah mengadakan Ratib Al-Attas dan sembahyang berjemaah di Surau Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei (PDB), semalam.
Hadir di majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Inspektor Hamdan bin Mantul bersama anggota dari Balai Polis Pusat. Turut hadir ahli-ahli PK Kampung Rimba dan Kawasan 1 STKRJ Tungku.
Menurut kenyataan PDB, aktiviti keagamaan berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keimanan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan peserta didik tentang ajaran Islam sehingga menjadi manusia Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT serta berakhlak mulia dalam kehidupan peribadi, bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.
Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim di antara PDB dan ahli-ahli PK, seterusnya membuat pendekatan bersua muka bersama ahli-ahli PK.
Aktiviti keagamaan berkenaan akan diteruskan di sepanjang Mei tahun ini setiap Isnin dan Rabu bersama ahli-ahli PK yang sudah berdaftar di bawah jagaan Balai Polis Pusat secara bergilir-gilir.