Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Awang Kasmi bin Haji Abdul Hamid dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Dayang Mariana binti Ahmad Umar Pejabat Daerah Tutong, masing-masing muncul juara bagi Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita dalam Kejohanan 9 Pin Boling sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan Ke-49 yang berlangsung di Golden Bowling Company, Tingkat 3, Airport Mall, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di dalam kejohanan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.
Kejohanan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita di mana tempat kedua dan ketiga bagi Kategori Individu Lelaki dimenangi oleh Awang Masyadi bin Haji Suhaili dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Awang Mohd Harun bin Haji A Omar dari Jabatan Buruh.
Sementara itu, bagi Kategori Individu Wanita, Dayang Mariani binti Haji Jaidin dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Dayang Nor Farizan binti Othman dari Jabatan Buruh, masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Kejohanan itu disertai oleh peserta-peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.
