Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 31 Dis – Bagi mengisi cuti persekolahan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, ahli-ahli Keluarga Haji Ali Siput yang dikenali dengan sebagai Keluarga KHAS telah mengadakan Sukan Ria Keluarga bertempat di Gelanggang Futsal Arbisyam, Keriam Tutong, kelmarin.
Sukan Ria Keluarga kali ini bertemakan ‘Keluarga Bermuafakat Pencetus Keharmonian Masyarakat’.
Samasa sukan ria dijalankan, ahli-ahli keluarga berkumpul mengikut pasukan warna rumah masing-masing.
Lebih 20 acara sukan telah pun dipertandingkan, diantaranya ialah pancing botol, mengisi air dalam botol, lari berhalangan, tiup belon, cari benda dalam tepung, membawa guli dalam batang paip, membawa telur rebus menggunakan sudu, memasukkan bola golf dalam lubang, membawa cawan plastik menggunakan straw bagi orang dewasa, manakala makan roti dan memasukkan bola dalam bakul bagi peringkat kanak-kanak.

Selain sukan ria, majlis turut mengadakan majlis penyampaian hadiah di Majlis Malam Mesra Keluarga KHAS pada malam ini.
Menurut salah seorang ahli keluarga berkenaan, Hajah Siti Alam binti Haji Ali dari Kampung Penapar, seramai lebih 50 orang ahli keluarga telah berkumpul mengikuti sukan ria hari Keluarga KHAS.
Sukan ria tersebut diadakan setiap tahun sejak tahun 2009. Antara tujuan sukan ria berkenaan diadakan adalah bagi memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim kekeluargaan.