Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Seramai 22 orang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 5 dan sukarelawan telah melaksanakan Program Berbagi Rezeki dan pengagihan Bubur Lambuk Iftar, baru-baru ini.
Acara bagi proses penyediaan bubur berkenaan telah diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat, manakala pengagihan bubur tersebut pula diadakan secara pandu lalu di hadapan Masjid An-Naim.
Pada acara itu, Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Kawasan 5, Haji Hairul Azri menjelaskan, acara tersebut dihasratkan dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara penduduk kampung dengan ahli-ahli MPK.
Selain itu, projek tersebut juga akan dijadikan sebagai program tahunan bagi memeriahkan lagi suasana pada bulan Ramadan serta mengimarahkan lagi Masjid An-Naim yang baharu digunakan bermula penghujung Februari sekali gus merupakan aktiviti pertama dengan kerjasama masjid tersebut.
Katanya lagi, “Bubur lambuk itu bukan sahaja diterima oleh penduduk kampung berkenaan, termasuk orang awam.”
Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa MPK, Dayang Norainah binti Malik ketika ditemui menyatakan penghargaan kepada kesemua ahli yang telah memberikan komitmen untuk menjayakan projek itu.
“Kerjasama yang diberikan dalam membuat kutipan selain mengorbankan masa dan tenaga dari awal hingga akhir telah memberikan impak positif kepada komuniti,” jelasnya.