Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 11 APRIL – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor Daerah Tutong, hari ini, telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Sekampung dengan hasrat untuk mempererat lagi hubungan silaturahim dan mengukuhkan permuafakatan antara ahli-ahli MPK dan penduduk kampung lebih-lebih di bulan Syawal ini.
Majlis yang diungkayahkan oleh MPK Panchor yang terdiri daripada Kampung Panchor Papan, Kampung Panchor Dulit dan Kampung Suran, Daerah Tutong itu telah diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Pengisian acara termasuk penyampaian sumbangan kepada 19 anak-anak yatim di bawah tadahan Kampung Panchor.
Ketua Kampung Panchor, Awang Muhammad Adib Bin Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman, yang juga selaku pengerusi serta ahli jawatankuasa majlis tersebut antaranya menaruh harapan majlis seumpama itu dapat menambahkan lagi semangat perpaduan dan ukhuwah bersama penduduk kampung dalam merayakan Hari Raya Aidilfitri.