Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eratkan silaturahim dengan masyarakat

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 29 Jan – Sebagai salah satu usaha memasyarakatkan masjid di samping melibatkan ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah dalam melakukan kerja-kerja sosial serta memeduli hal-hal yang bersangkutan dengan masyarakat setempat, Program Mulianya Berbagi telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, di sini.

    Program anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Liang itu telah diisikan dengan menunaikan sembahyang Fardu Subuh berjemaah, kemudian membaca Surah Al-Waqiah, tazkirah dan disusuli kemudian dengan senaman berjalan kaki.

    Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan barangan keperluan asasi yang diselajurkan lagi dengan kempen membersihkan rumah keluarga yang kurang berkemampuan dan juga penyampaian sumbangan kepada pihak Sekolah Rendah Sungai Liang bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan seterusnya bersarapan pagi bersama anak-anak yatim yang tinggal di kampung tersebut.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, yang juga penghulu Mukim Liang.

    Yang Berhormat Haji Abdul Hamid menyempurnakan penyerahan bantuan kepada mereka yang memerlukan di kampung berkenaan.
    Program Mulianya Berbagi dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh dan membaca Surah Al-Waqiah dan tazkirah di Masjid Kampung Sungai Liang.

    Program tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan dan merapatkan lagi tali silaturahim dalam kalangan masyarakat dengan ahli-ahli takmir masjid, selain memasyarakatkan masjid kepada masyarakat dengan kepelbagaian aktiviti serta dapat menarik minat penderma atau penyumbang bantuan untuk menyalurkan sumbangan melalui institusi masjid.

    Ia juga adalah untuk meningkatkan inisiatif penglibatan ahli-ahli jawatankuasa takmir, jemaah, Muslimah dan belia masjid dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

    Dengan adanya program seperti itu, ia akan dapat dilaratkan ke masjid-masjid di Daerah Belait dengan menyumbangkan bantuan kepada masyarakat kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar masjid atau kampung berkenaan melalui institusi masjid dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda