TEHRAN, 4 Okt – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengadakan lawatan ke Iran hari ini dalam tanda hubungan mesra antara kedua-dua negara berjiran itu yang menyokong kem pesaing di Syria namun kedua-duanya menentang pengundian bagi kemerdekaan Kurdish, Iraq, minggu lalu.
Kedua-dua kerajaan bimbang pemisahan Kurdish Iraq akan mencetuskan sentimen pemisah dalam kalangan minoriti Kurdish negara mereka dan berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan di Baghdad untuk menyekatnya.
Erdogan dijangka akan menemui kedua-dua rakan sejawatan Iran, Hassan Rouhani dan pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, yang memuktamadkan semua perkara mengenai hal ehwal negara.
Dia disambut di Tehran oleh ketua turus pasukan bersenjata Turki, Jeneral Hulusi Akar, yang tiba pada Ahad.
Kedua-dua buah negara telah mengadakan latihan tentera dekat dengan sempadan mereka di rantau autonomi Kurdish, Iraq, baru-baru ini untuk meningkatkan tekanan ke atas para pemimpin Kurdish.

Latihan itu juga melibatkan pasukan kerajaan persekutuan di Baghdad, yang telah menuntut pemansuhan undian 25 September, yang mendapat undian majoriti kemerdekaan sebanyak 92.7 peratus.
“Kerjasama antara Iran, Turki dan Iraq boleh mewujudkan kestabilan dan keselamatan di rantau itu dan menyekat langkah bagi pemisahan,” kata Menteri Pertahanan Iran, Jeneral Amir Hatami berkata ketika dia mengadakan rundingan bersama Akar kelmarin.
Baghdad mengenakan tegahan ke atas semua penerbangan antarabangsanya menuju ke lapangan terbang Kurdish pada Jumaat mencetuskan penghijrahan warga asing beramai-ramai.
Iran telah mengarahkan pembatalan kepada semua perdagangan dalam produk minyak bersama Kurdistan Iraq dan berkata ia akan membenarkan pasukan persekutuan Iraq untuk ditugaskan di sempadan penyeberangan dengan rantau itu. – AFP