ISTANBUL, 29 Nov – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini berkata beliau akan berbincang mengenai ketegangan di Selat Kerch bersama rakan sejawatannya dari Rusia dan Amerika Syarikat (AS) semasa sidang G20 nanti di Argentina.
Menurut Erdogan, beliau mengkaji semula isu itu bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko melalui telefon semalam untuk melihat apa yang patut dilakukan mengenai perkara ini dan sama ada Turki boleh berperanan sebagai orang tengah.
“Kedua-dua belah pihak meminta beberapa tuntuan daripada kami,” beritahu Erdogan kepada para wartawan di Istanbul sebelum berlepas ke Buenos Aires, Argentina dan menambah, beliau akan mengadakan rundingan lebih lanjut bersama Putin dan Presiden AS, Donald Trump semasa sidang kemuncak G20.
Dalam perbualan telefon, pemimpin Turki menggesa Rusia dan Ukraine untuk menyelesaikan masalah mereka menerusi dialog dengan kadar segera dan menjadikan Laut Hitam itu sebagai laut yang aman.
Baru-baru ini, tiga buah kapal tentera laut Ukraine yang cuba untuk belayar melalui Selat Kerch dari Laut Hitam ke Laut Azov diserang dan ditawan oleh pasukan tentera Rusia di mana mereka percaya, kapal-kapal itu merentasi sempadan Rusia.
Tentera Laut Ukraine mendakwa bahawa mereka telah memaklumkan Rusia lebih awal dan menyifatkan tindakan Rusia itu sebagai ‘tindakan keganasan.’
Rusia menafikan menerima laporan itu dan berkata kapal itu tidak menghiraukan amaran oleh pengawal sempadan Rusia. – Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/11/P16-2A_301118.jpg)