Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erdogan bakal bertemu Biden di Rumah Putih

    ISTANBUL, 29 MAC – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Rumah Putih pada 9 Mei, kata seorang pegawai Turkiye kepada AFP hari ini.

    Ia akan menjadi pertemuan Rumah Putih pertama antara kedua-dua pemimpin, yang kali terakhir bertemu pada sidang kemuncak NATO di Lithuania pada bulan Julai.

    Lawatan itu dibuat ketika dua sekutu NATO sedang berusaha untuk membina semula hubungan yang tegang berikutan beberapa pertikaian termasuk kelewatan kelulusan Ankara untuk penyertaan Sweden dalam perikatan yang diketuai AS.

    “Saya rasa ini adalah lawatan yang agak penting. Erdogan kini telah mentadbir Turkiye selama 21 tahun dan Biden adalah presiden pertama sehingga saat ini yang tidak menjemputnya ke Rumah Putih,” beritahu Soner Cagaptay, pengarah Program Turkiye di Institut Washington, kepada AFP.

    “Memang menjadi perkara yang besar di mana Erdogan akhirnya mendapat jemputan sejurus sebelum tamat penggal Biden,” katanya.

    Penentangan Turkiye terhadap bidaan Sweden untuk menyertai NATO selepas perang Rusia ke atas Ukraine pada 2022 adalah salah satu isu utama dalam hubungan kedua-dua negara, satu langkah yang juga mencerminkan sikap Erdogan yang lebih lembut terhadap Rusia.

    Turkiye telah menerima manfaat daripada perniagaan dengan Moscow sementara pada masa yang sama membekalkan Ukraine dengan dron dan senjata penting lain.

    Erdogan juga antara pemimpin Barat yang mengadakan pertemuan tetap dan perbualan telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang pada mulanya dijangka melawat Turkiye pada Februari. – AFP

    Erdogan berucap kepada penyokong semasa perhimpunan kempen pilihan raya di Istanbul pada 24 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda