ANKARA, 8 Jan – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini telah menyelar kenyataan Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton sebagai ‘kesilapan besar’ mengenai militan Kurdish di Syria, sekali gus memperlihatkan ketegangan antara Ankara dan Washington.
Kenyataan Erdogan itu dikeluarkan tidak lama selepas Bolton mengadakan perbincangan selama lebih dua jam di ibu negara Turki itu dengan penasihat Erdogan, Ibrahim Kalin, dalam pertemuan penting bagi memfokuskan keputusan mengejut AS untuk meninggalkan Syria.
“Ia amatlah mustahil untuk menerima kenyataan yang diberikan oleh Bolton di Israel,” kata Erdogan kepada penggubal undang-undang partinya di parlimen.
Ketegangan meletus menjelang perundingan dengan Ankara itu selepas Bolton pada Ahad lalu ketika berada di Israel berkata pengunduran AS juga bersyarat atas keselamatan pejuang Kurdish yang disokong AS, namun dianggap sebagai pengganas oleh Turki.
Erdogan berkata: “John Bolton telah membuat kesilapan besar mengenai isu ini.”

Presiden AS, Donald Trump telah menyebabkan kekacauan politik bulan lepas apabila dia mengumumkan tentera AS akan dibawa balik kerana perang ke atas kumpulan Islamic State (IS) telah dimenangi.
“Presiden Trump membuat pengumuman tepat untuk menarik diri dari Syria,” kata Erdogan dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh New York Times, menggariskan ‘strategi komprehensif’ Turki untuk menghapuskan kumpulan pelampau di negara yang dilanda perang itu.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga menimbulkan kemarahan pimpinan Turki ketika dia berkata Washington akan memastikan Ankara tidak ‘memusnahkan’ Kurdish di Syria ketika tentera Amerika mundur.
Erdogan menepis kenyataan itu hari ini dan berkata: “Tuduhan mengenai Turki yang menyasarkan Kurdish adalah sebagai yang paling keji, yang paling hina, fitnah paling buruk.”
Sementara itu, Bolton telah mengadakan perbincangan ‘produktif’ dengan Kalin pada pagi hari ini untuk membincangkan bagaimana pengunduran AS akan berlaku, menurut kenyataan jurucakapnya yang dikongsi di Twitter berikutan pertemuan itu.
“Mereka mempunyai perbincangan yang produktif tentang keputusan presiden untuk menarik tentera pada kadar yang pantas dari timur laut Syria, mengenal pasti isu-isu lanjut untuk dialog tersebut,” kata Garrett Marquis. – AFP