ISTANBUL, 26 JULAI – Pemimpin Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini bercakap dengan presiden Palestin dan ketua Hamas di Ankara, menjelang pertemuan penting puak-puak Palestin yang dijadualkan pada hujung minggu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga dijadualkan melawat Turkiye minggu ini, tetapi lawatannya ditangguhkan, selepas dia menjalani pembedahan hujung minggu lalu dan ketika Israel digemparkan dengan bantahan berhubung reformasi kehakiman yang menimbulkan perbalahan.
Selepas beberapa tahun ketegangan, hubungan antara Turkiye dan Israel bertambah baik sepanjang tahun lalu, dengan beberapa kunjungan peringkat tinggi, termasuk lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog.
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh turut menghadiri pertemuan dengan Erdogan, yang diadakan secara tertutup, kata pejabat pemimpin Turkiye itu.
Erdogan kelmarin berjanji untuk terus menyokong perjuangan Palestin dan menyuarakan kebimbangan mengenai keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas pertemuan dengan presiden Palestin, Mahmud Abbas.
“Kami akan terus menyokong perjuangan Palestin dengan sebaik-baiknya,” kata Erdogan, di samping Abbas.
“Kami amat bimbang tentang peningkatan kehilangan nyawa, kemusnahan, perluasan kawasan penempatan haram dan keganasan oleh pendatang,” kata pemimpin Turkiye itu.
“Satu-satunya cara untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di rantau ini ialah dengan mempertahankan wawasan penyelesaian dua negara.” – AFP
