ANKARA, 4 APRIL – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menjadi pemilik pertama kereta elektrik keluaran negara itu kelmarin.
“Hari ini, kita menyaksikan impian 60 tahun negara kita direalisasikan.
“Togg adalah simbol kepada pembangunan teknologi, perkembangan ekonomi dan reputasi global negara kita,” kata Erdogan pada majlis penyerahan SUV segmen-C kereta elektrik Togg di Ankara, lapor Xinhua.
Prototaip kereta itu telah diperkenalkan oleh Kumpulan Usahasama Automotif Turkiye (Togg) pada Disember 2019.
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev turut menjadi antara pemilik terawal kereta elektrik keluaran negara itu.
Harga bagi model standard T10X bermula daripada 953,000 lira Turkiye sekitar AS$49,600 hingga 1.05 juta lira, manakala model jarak jauh berharga hampir 1.22 juta lira, menurut statistik yang dikeluarkan oleh syarikat itu. – Bernama