ISTANBUL, 9 JUN – Presiden Turkiye yang baharu dilantik semula, Recep Tayyip Erdogan hari ini melantik bekas eksekutif Wall Street, Hafize Gaye Erkan sebagai gabenor bank pusat baharu untuk menangani salah satu daripada kadar inflasi tertinggi di dunia.
Erkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif First Republic Bank dan pengarah urusan di Goldman Sachs, akan menjadi wanita pertama mengetuai bank pusat itu.
Erdogan, yang memulakan penggal ketiga dalam jawatannya, melancarkan kabinet baharu pada Sabtu, melantik Mehmet Simsek, bekas ahli ekonomi Merrill Lynch, sebagai menteri kewangan.
Simsek yang bekerja sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri dalam kerajaan AKP sebelum ini, diketahui menentang dasar tidak konvensional Erdogan untuk menurunkan kadar faedah bagi memerangi inflasi.
Erkan, yang pelantikannya disiarkan dalam Gazet Rasmi hari ini telah mengambil alih jawatan itu menggantikan Sahap Kavcioglu.
Di bawah pengawasan Kavcioglu, kadar dasar bank itu menurun kepada 8.5 peratus. Ia berada pada 19 peratus pada 2021. – AFP
