ANKARA, 28 MEI – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengundi pada pusingan kedua pilihan raya presiden hari ini, lapor agensi Anadolu.
Ini merupakan pilihan raya penentu pertama dalam sejarah demokrasi Turkiye, kata Erdogan kepada pemberita selepas melaksanakan tanggungjawabnya di daerah Uskudar di Istanbul.
Erdogan menggesa semua rakyat untuk mengundi sambil menambah peratusan keluar mengundi hampir 90 peratus dalam pilihan raya 14 Mei, satu trend yang jarang berlaku di seluruh dunia.
Pengundian bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan (0500GMT).
Lebih 64.1 juta orang dijangka mengundi, termasuk lebih 1.92 juta pengundi luar negara yang sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dan 4.9 juta pengundi merupakan pengundi kali pertama.
Sebanyak 191,885 peti undi telah disediakan di seluruh negara.
Dalam pusingan kedua, Erdogan bakal berdepan Kemal Kilicdaroglu, ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP).
Pengundian di luar negara diadakan sehingga 24 Mei.
Pusat mengundi akan ditutup pada 5 petang waktu tempatan (1400GMT) hari ini.
Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada 14 Mei untuk memilih presiden negara itu dan 600 ahli Parlimennya.
Turkiye melaksanakan pilihan raya penentu hari ini bagi memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama, meskipun Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus. – Bernama