ISTANBUL, 7 Mei – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini menyambut baik arahan untuk pengundian semula pilihan raya Istanbul baru-baru ini, satu langkah yang dikecam pembangkang sebagai serangan ke atas demokrasi.
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) diketuai Erdogan, terlepas gelaran datuk bandar bagi bandar terbesar Turki dengan margin kecil dan enggan menerima kekalahan.
“Kami secara jujurnya percaya terdapat rasuah terancang dan ketaksekataan,” Erdogan memberitahu ahli parti di parlimen hari ini, mengatakan pengundian semula adalah ‘langkah terbaik’ bagi negara itu.
Pembangkang utama, Parti Republikan Rakyat (CHP) mengecam keputusan semalam oleh badan tertinggi suruhanjaya pilihan raya untuk pengundian semula sebagai tidak demokratik atau tidak sah.’
Calonnya, Ekrem Imamoglu yang ditarik balik gelaran datuk bandar selepas menang pilihan raya 31 Mac, dijangka bertemu rakan pakatan hari ini bagi membincangkan strategi mereka.
Kekalahan Istanbul, hab ekonomi negara, merupakan kekalahan mengejutkan bagi parti memerintah Erdogan.
AKP dan parti terdahulu sudah pun memerintah bandar itu selama 25 tahun, dan ia khususnya amat sensitif bagi Erdogan yang membesar di metropolis itu dan bangkit berkuasa selepas beliau sendiri berkhidmat sebagai datuk bandar Istanbul.
Imamoglu, seorang bekas pegawai daerah, menyampaikan satu ucapan membakar semangat kepada beribu-ribu penyokongnya di Istanbul lewat semalam, berikrar akan muncul lebih kuat selepas pengundian semula pada 23 Jun.
“Mungkin anda kecewa, tetapi jangan putus harapan,” katanya, manakala beribu-ribu lagi mengadakan rapat umum di daerah Kadikoy untuk memprotes keputusan suruhanjaya pilihan raya. – AFP