ISTANBUL, 30 Dis – Presiden Recep Tayyip Erdogan telah memberi rangsangan besar kepada kerja-kerja bantuan kemanusiaan Yayasan Tzu Chi bagi pelarian Syria di Turki, hasil inisiatif tokoh korporat Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada pertemuan di pejabat presiden di sini, pada malam kelmarin.
Tan, yang mengetuai lawatan tiga hari sukarelawan Tzu Chi dari Malaysia untuk mengagihkan bantuan kepada pelarian di sini, tidak mengharapkan misi yang lebih berjaya, melainkan pertemuannya dengan Erdogan.
Semalam, pengasas Berjaya Group itu juga bertemu dengan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu. Tan juga mempunyai satu lagi alasan untuk merasa amat gembira apabila bertemu dengan media Malaysia yang membuat liputan misi itu selepas perbincangan selama 45 minit dengan Erdogan.
Tzu Chi berpangkalan di Taiwan tetapi mempunyai sukarelawan di 57 negara termasuk Malaysia dan sejak penubuhannya 52 tahun lepas, telah memperluaskan bantuan kemanusiaan untuk mangsa bencana dan perang di lebih 100 negara.
Tan, seorang sukarelawan yang bertauliah, berkata Erdogan membawa berita gembira, ke arah mengekalkan operasi Tzu Chi di Turki yang menerima 4.5 juta pelarian, 3.6 juta adalah rakyat Syria yang melarikan diri dari tanah air mereka akibat perang saudara yang berpanjangan.
Satu isu yang dibangkitkan semasa pertemuan itu adalah kuota hanya lebih 500 pelajar yang boleh didaftarkan oleh pihak berkuasa Turki untuk mengikuti sistem pendidikan Amerika bagi sekolah antarabangsa yang dikendalikan Tzu Chi di sini untuk kanak-kanak pelarian.
Kini terdapat lebih 2,000 pelajar dan Tzu Chi berhasrat untuk meningkatkan kuota kepada 3,000 bagi membolehkan perkembangan masa depan. – Bernama