Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erdogan usaha selamatkan perjanjian bijirin Ukraine

    ISTANBUL, 17 JULAI – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini berkata perjanjian pelbagai hala membenarkan penghantaran bijirin dan produk pertanian lain dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine boleh diselamatkan, lapor Xinhua.

    Inisiatif Bijirin Laut Hitam, yang ditaja oleh Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu mengurangkan krisis makanan global selepas konflik Rusia-Ukraine, tamat hari ini.

    Moscow berkata perjanjian itu telah tamat dan ia tidak akan diperbaharui melainkan syaratnya dipenuhi.

    “Walaupun kenyataan dibuat hari ini, saya percaya Presiden Rusia, (Vladimir) Putin mahukan kesinambungan jambatan kemanusiaan ini,” kata Erdogan, merujuk kepada perjanjian itu.

    Erdogan bercakap kepada media di lapangan terbang Istanbul sebelum memulakan lawatan ke Arab Saudi.

    Beliau telah menghubungi Putin sebelum lawatan pemimpin Rusia itu ke Turkiye.

    Minggu lalu, Erdogan berkata Putin mungkin melawat Turkiye pada Ogos.

    PBB dan Turkiye menjadi perantara Inisiatif Bijirin Laut Hitam dengan Rusia dan Ukraine untuk menyediakan koridor maritim kemanusiaan untuk kapal dengan eksport makanan dan baja dari tiga pelabuhan Laut Hitam Ukraine yang ditetapkan pada Julai 2022. – Bernama

    Foto fail bertarikh 22 Jun 2022 menunjukkan Erdogan (kanan), dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berjabat tangan semasa majlis sambutan di Ankara, Turkiye. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda