THE HAGUE, 26 APRIL – Persatuan Bola sepak Belanda (KNVB) membuat keputusan menamatkan musim 2019-2020, dengan Eredivisie menjadi liga utama Eropah yang menamatkan musimnya kerana pandemik koronavirus.
Tiada pasukan akan bergelar juara selepas Ajax dan AZ Alkmaar terikat dalam kutipan mata di puncak liga dengan baki sembilan perlawanan.
“Malangnya, dengan langkah-langkah (larangan perhimpunan secara besar-besaran) yang diambil oleh kerajaan, ia adalah mustahil untuk menamatkan musim 2019-2020,” kenyataan KNVB.
“Kesihatan orang awam adalah diutamakan. Ia bukan sahaja menjadi masalah bagi bola sepak atas apa koronavirus telah buat ke atas masyarakat. Walau bagaimanapun, komiti bola sepak profesional mengambil maklum bahawa keputusan hari ini akan menyebabkan rasa kecewa bagi sesetengah orang,” tambahnya.
Pendahulu liga, Ajax, berada di hadapan AZ dengan perbezaan gol, akan layak secara automatik ke pusingan kumpulan Liga Juara-Juara, menurut KNVB, yang masih menunggu keputusan muktamad dari UEFA pada 25 Mei ini.
AZ berkemungkinan besar akan layak ke pusingan kelayakan, bersama dengan Feyenoord, PSV Eindhoven dan Willem II bakal bertanding dalam Liga Eropa berdasarkan kedudukan akhir.
KNVB mengumumkan hasrat mereka untuk menamatkan musim ini pada Selasa, berikutan keputusan kerajaan melanjutkan larangan perhimpunan beramai-ramai sehingga 1 September ini.
Perlawanan tanpa kehadiran peminat dikatakan tidak akan menjadi pilihan disebabkan mereka dikira sebagai satu kejohanan dan memerlukan permit dan kehadiran pihak polis.
Keputusan terakhir dibuat berikutan perjumpaan dengan pihak kelab pada Jumaat lalu. Musim hadapan akan bermula dengan 18 buah pasukan yang sama ketika kempen Eredivisie ditamatkan.
“Tidak akan ada penyingkiran, atau promosi,” kata KNVB, yang dijangka akan menerima tindakan undang-undang dari SC Cambuur dan De Graafschap –pasukan dua teratas dalam divisyen dua.- AFP