Erenst dilantik ketua pegawai operasi pengeluaran Barramundi

SINGAPURA, 2 SEPT – Kumpulan Barramundi, yang mendakwa sebagai pemimpin dalam mempelopori masa depan ikan siakap menerusi akuakultur mapan yang canggih, telah mengumumkan pelantikan Vincent Erenst sebagai ketua pegawai operasi pengeluaran kumpulan berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kumpulan Barramundi, Erenst akan mengambil peranan berkenaan daripada Andres Johnson yang bakal mengakhiri penggal selama tiga tahun bersama kumpulan tersebut.

Kenyataan menyatakan, dengan hampir empat dekad pengalaman dalam sektor akuakultur, Erenst merupakan seorang veteran industri dengan pengalaman yang meluas ketika bersama beberapa operasi akuakultur terbesar di seluruh dunia, termasuk 12 tahun sebagai pengarah di MOWI ASA (sebelumnya dikenali sebagai Marine Harvest Group). Beliau telah mengasah kemahirannya dalam perancangan strategik, pertanian, pemprosesan, jualan dan kewangan, menjadikannya seorang yang benar-benar serba boleh dalam akuakultur perindustrian.

Erenst yang bakal berpangkalan di Singapura bagi peranannya di Kumpulan Barramundi, dipetik berkata, “Saya teruja untuk menyertai pasukan di Kumpulan Barramundi, di samping pelan pertumbuhan yang bercita-cita tinggi untuk melihat ikan ini menjadi pilihan popular bagi pelanggan di seluruh dunia.”

Mengulas mengenai pelantikan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barramundi, Andreas von Scholten berkata, “Ahli-ahli lembaga dan pengurusan gembira untuk mengalu-alukan bakat terbaik global seperti Vincent dengan misi Kumpulan Barramundi untuk memberi makan masyarakat dunia secara bertanggungjawab dan lestari.

“Kami yakin bahawa penyertaannya akan menggerakkan lagi usaha ke arah wawasan pertumbuhan kami pada masa yang penting ini susulan penyenaraian di bursa saham Euronext Growth Oslo, baru-baru ini,” tambah beliau.