MUNICH, 2 MEI – Pertahanan England, Eric Dier akan meninggalkan Bayern Munich sebaik tamat musim ini apabila kontraknya berakhir pada 30 Jun, menurut Pengarah Sukan kelab itu, Christoph Freund, hari ini.
“Kami telah berbincang dengan Eric mengenai kemungkinan lanjutan kontrak,” kata Freund.
“Namun dia memaklumkan tidak akan menyambung kontraknya bersama Bayern dan akan meninggalkan kelab pada penghujung musim.”
Bayern masih berunding untuk melanjutkan kontrak Dier secara sementara bagi membolehkannya beraksi dalam Piala Dunia Kelab yang berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai di Amerika Syarikat (AS).
Dier, 31, tiba di Munich secara pinjaman dari Tottenham Hotspur pada Januari 2024 dan segera memantapkan barisan pertahanan bersama Matthijs de Ligt di bawah kendalian ketika itu, Thomas Tuchel. Dia kemudian menyertai Bayern secara tetap pada musim panas tahun lalu dengan kontrak selama setahun. – AFP
