STOCKHOLM, 26 FEB – Pengeluar peralatan telekom Sweden, Ericsson berkata baru-baru ini ia akan mengurangkan 8 peratus daripada tenaga kerja global ketika ia menimbang mengurangkan kos, yang terbaharu dalam gelombang pengurangan pekerja syarikat teknologi itu.
Syarikat berpangkalan di Stockholm itu, yang menyediakan peralatan untuk rangkaian wayarles berkelajuan tinggi 5G, berkata ia menjangka mengurangkan 8,500 pekerja pada tahun ini dan 2024 sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan perbelanjaannya sebanyak 9 bilion kronor Sweden (AS$857 juta) pada akhir tahun ini.
“Matlamat kami adalah mengendalikan proses di setiap negara dengan adil, rasa hormat, penuh profesional dan sejajar dengan undang-undang pekerja tempatan,” kata Ericsson dalam satu kenyataan.
Syarikat itu pada Disember mengumumkan kempennya untuk mengurangkan kos. Ia berkata pada Jumaat ia menjangka melihat keputusan dalam suku kedua ketika ia menyusun semula syarikat dan menjadi lebih efisien, termasuk mengurangkan tenaga kerjanya berjumlah 105,000 di seluruh dunia.
“Kami juga sedang mengusahakan bahagian perkhidmatan, bekalan, hartanah dan IT. Kami telah pun mula melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu kami mencapai matlamat pengurangan kos tersebut,” kata Ericsson.
Bulan lalu, Ericsson melaporkan keuntungan sebanyak AS$1.86 bilion dan pendapatan AS$26.93 bilion untuk 2022. – AP