Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eriksen jangka akan tinggalkan United

    COPENHAGEN, 19 MAC – Christian Eriksen hari ini berkata bahawa dia menjangkakan untuk meninggalkan Manchester United pada akhir musim dan bersedia untuk cabaran baharu.

    Pemain tengah Denmark itu sering keluar masuk dalam kesebelasan utama sejak Ruben Amorim mengambil alih pasukan tahun lalu, dan kontraknya di Old Trafford akan tamat pada bulan Jun.

    “Saya bersedia untuk mencari sesuatu yang baharu. Itu sangat sesuai dengan saya,” kata Eriksen kepada wartawan sebelum perlawanan suku akhir Nations League, Denmark menentang Portugal, sambil mendedahkan bahawa United belum menghubunginya mengenai kemungkinan lanjutan kontrak.

    “Itulah sebabnya saya menganggap kerjasama ini sudah berakhir. Begitulah cara saya menafsirkannya.

    “Saya akan tunggu dan lihat apa tawaran yang datang, saya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa, tetapi jika peluang yang sesuai muncul, saya akan mengambilnya.”

    Aksi Christian Eriksen meraikan gol pertama pasukannya dalam perlawanan Liga Europa UEFA 2024/25, pada 24 Oktober 2024. – AFP

    Eriksen, yang pernah mengalami serangan jantung ketika perlawanan Euro 2020 menentang Finland, telah diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United selepas tidak berada dalam kesebelasan utama sejak Disember.

    “Niat saya bukan untuk terus kekal di England,” tambah pemain berusia 33 tahun itu.

    Eriksen menyertai United pada 2022 selepas tempoh singkat bersama Brentford.

    Dia terpaksa meninggalkan kelab lamanya, Inter Milan, disebabkan peraturan kesihatan di Itali selepas dipasang dengan alat defibrilator kardioverter implan (ICD).

    Eriksen membuat 99 penampilan dalam semua pertandingan untuk Manchester United dan menjaringkan tujuh gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda