Friday, April 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erma Fatima papar realiti sumbang mahram dalam drama

    Susulan kes sumbang mahram yang berlaku di Kelantan, penerbit dan pengarah Erma Fatima bimbang dengan sikap masyarakat yang disifatkan sebagai ‘sakit’.

    Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, berkata, dia tidak faham mengapa ada tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap ahli keluarga sendiri, menurut laporan mStar.

    Disebabkan itu, Erma berharap masyarakat dapat membuka mata tentang realiti yang cuba diangkat dalam drama terbitannya Keluarga Itu.

    “Bila aku buat drama ini, korang kutuk kata menjijikkan tapi ini realiti di luar sana. Masih nak simpan bawah karpet? Jiwa orang kita makin sakit,” katanya.

    Erma berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

    Dalam pada itu, Erma turut menggesa pihak kerajaan melakukan tindakan sewajarnya bagi membendung kes sumbang mahram daripada terus menular.

    “Tolonglah kerajaan ambil peduli dan cari solusi untuk bantu bendung masalah ini. Menyedihkan,” ujarnya.

    Pada Rabu, Ketua Polis Kelantan iaitu Datuk Mohd Yusoff Mamat memberitahu kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan tahun lalu mencatatkan sebanyak 252 kes manakala tahun sebelumnya 206 kes.

    Menurutnya, kes dari Januari hingga Mac tahun ini meningkat sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.

    Sebelum ini, kecoh di media sosial berkenaan drama terbitan Erma di TV3 iaitu Keluarga Itu yang memaparkan isu sumbang mahram secara terbuka. – Agensi

    Erma papar realiti sebenar dalam drama Keluarga Itu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda