Penerbit drama Bidaah, Erma Fatima dengan terbuka menerima teguran pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai babak drama berkenaan yang mengandungi unsur menimbulkan kegelisahan awam.
Sedar ia menjadi bualan ramai, Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, bagaimanapun menegaskan dia tiada niat mempersendakan agama.
Bahkan baginya karya tersebut seharusnya menjadi pengajaran tentang orang dianggap sebagai penunggang agama.
“Saya orang Islam, saya tidak akan berperang dengan Islam. Saya berperang dengan orang yang menunggang agama.
“Apa sahaja saya katakan sekarang mungkin menjadi bahan bualan orang atau dianggap cuba tegakkan benang yang basah namun saya boleh beritahu ia bukan karya sampah,” katanya ketika dihubungi mStar.
Erma menjelaskan hal tersebut sebagai respon kepada kenyataan Jakim tentang pertemuan yang diadakan antara mereka berhubung isu berkenaan.
Pertemuan tersebut berlangsung pada Jumaat lalu di pejabat Jakim, Kuala Lumpur dan turut melibatkan wakil Viu sebagai platform yang menayangkan drama berkenaan.
Mengakui khilaf sendiri, Erma terlebih dahulu memotong dua babak seperti yang menjadi bualan hangat di media sosial.
“Sejak isu ini tular, saya dah buang (babak berkenaan) dahulu. Saya tahu akan babak tersebut dibuat dalam drama berkenaan. Orang seni mahu bermetafora. Mungkin teralpa,” ujarnya.
Dua adegan yang disifatkan sensitif adalah babak Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya.
Selain itu babak lakonan Fazlina Ahmad Daud yang meminum air basuhan dan mencium kaki Faizal juga diminta dikurangkan. – Agensi
