Pengarah dan penerbit, Erma Fatima sebak ketika melihat pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman di majlis resepsi ketiga pasangan itu yang berlangsung di Melawati Convention Centre, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Erma atau Fatimah Rahmad, 56, berkata, pada awalnya dia berhasrat untuk merakam satu video gurauan berunsur sedih, namun membatalkan niat tersebut selepas menyaksikan sendiri momen indah pasangan terbabit diraikan keluarga dan rakan-rakan.
“Niat hati saya nak buat video sedih. Tapi sesungguhnya saya memang sebak melihat mereka. Terima kasih Allah kerana kau hantar seorang insan yang dapat memberi cinta sejati buat dia (Fattah).
“Peliharalah cinta mereka hingga ke syurga. Amira, jaga anak saya itu baik-baik ya. Mama sayang kamu berdua,” katanya. Erma berkongsi luahan itu menerusi hantaran di Threads miliknya sejurus selepas majlis berakhir.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet tersentuh hati dengan pesanan dan keikhlasan Erma terhadap pasangan berkenaan.
“Selalu dengar rakan artis pesan jaga isteri baik-baik, tapi kali ini lain… bekas tunang pula pesan jaga anak dia baik-baik.
“Teringat dulu Datuk Rosyam Nor pernah bergurau suruh Fattah kahwin dengan Erma. Tapi Fattah balas, kalau jadi betul, Datin Seri Umie Aida kena panggil dia abang ke?
“Tunang tak jadi terus naik taraf jadi ibu angkat. Sweet sangat hubungan mereka. Semoga bahagia hingga ke syurga,” tulis warganet.
Sebelum ini, Erma pernah memberitahu dia tidak pernah terasa hati apabila sahabat baiknya iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor bergurau mahu menjodohkannya dengan Fattah. Jelas Erma, semua itu sekadar gurauan memandangkan mereka sudah lama berkawan baik dalam industri hiburan. – Agensi


