Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eropah alami banjir paling buruk 2024

    PARIS, 15 APRIL – Eropah mengalami banjir paling besar dalam lebih sedekad pada tahun 2024. Menurut pemantau perubahan iklim Kesatuan Eropah (EU) hari ini, hampir satu pertiga rangkaian sungainya telah melimpah ke paras bahaya.

    Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, sebahagian besar benua itu ditenggelami air sepanjang tahun, dengan kawasan paling teruk terjejas termasuk Valencia di Sepanyol serta Eropah tengah dan timur.

    Bencana berkenaan berlaku dalam tahun paling panas di seluruh dunia.

    Kejadian tersebut sekali gus menekankan ancaman banjir yang semakin serius di Eropah akibat pemanasan global yang didorong oleh aktiviti manusia.

    Ribut dan banjir sepanjang tahun 2024 telah meragut lebih 300 nyawa, menjejaskan 413,000 penduduk di seluruh Eropah dan menyebabkan kerugian ekonomi bernilai sekurang-kurangnya 18 bilion euro.

    Menurut laporan baharu Copernicus bersama Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) di bawah PBB, kira-kira 30 peratus rangkaian sungai di Eropah dilanda banjir dalam salah satu daripada 10 tahun paling basah di benua itu sejak 1950.

    Samantha Burgess daripada Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah (ECMWF), yang mengendalikan pemantau iklim Copernicus berkata, “Eropah mencatatkan banjir paling besar sejak 2013.”

    Hujan selama tiga bulan turun hanya dalam tempoh lima hari pada September apabila Ribut Boris membawa banjir besar ke lapan negara di Eropah tengah dan timur dan menyebabkan kemusnahan meluas. – AFP

    Sungai La Nive membanjiri Bayonne, bandar barat daya Perancis pada 17 Oktober 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda