Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eropah julang Piala Ryder

    FARMINGDALE, 29 SEPT – Eropah berjaya menyekat kebangkitan mendebarkan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk memenangi Piala Ryder kelmarin, apabila pemain Ireland, Shane Lowry, menjulang trofi itu dengan pukulan birdie dramatik jarak enam kaki di lubang ke-18.

    Pukulan daripada Lowry itu mendorongnya berkongsi mata dengan pemain AS, Russell Henley untuk separuh mata yang memastikan Eropah mempertahankan trofi, manakala dua keputusan seri mengesahkan kemenangan 15-13 kepada pasukan pelawat.

    “Ia merupakan beberapa jam paling sukar dalam hidup saya,” kata Lowry sambil menitis air mata. “Saya masih tak percaya pukulan itu masuk. Saya berdiri di atasnya dan berkata, ‘Inilah saatnya.’

    “Semasa berjalan menuju ke lubang 18, saya berkata, ‘Saya ada peluang untuk melakukan perkara paling hebat dalam hidup saya.’ Piala Ryder bermakna segalanya bagi saya… Untuk melakukannya hari ini di hadapan semua orang – ia sungguh manis dan istimewa.”

    Kejayaan Eropah itu merupakan kemenangan ke-11 mereka dalam 15 pertemuan piala terdahulu dan kemenangan keempat mereka di tempat lawan dalam tempoh tersebut, kemenangan di luar negara pertama sejak ‘Miracle at Medinah’ pada 2012.

    “Ia mungkin 12 jam paling mendebarkan dalam hidup saya,” kata ketua pasukan Eropah, Luke Donald.

    “Saya tidak sangka saingan akan begitu sukar pada Ahad. Mereka bertarung dengan gigih. Namun kami berjaya.”

    AS mengetuai persaingan 27-16-2, namun Eropah mendahului 13-9-1 sejak senarai pemain diperluas di luar Britain dan Ireland pada 1979.

    “Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata pemain nombor dua dunia, McIlroy, yang mencatat 3-1-1.

    “Ia merupakan usaha kolektif yang luar biasa. Minggu ini benar-benar menakjubkan.” – AFP

    Tyrrell Hatton menjulang trofi Piala Ryder ketika Pasukan Eropah meraikan kemenangan 15-13 ke atas Pasukan AS. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda