Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eropah sedia hadapi gelombang haba

    MARSEILLE, 29 JUN – Penduduk di selatan Eropah bersiap sedia kelmarin untuk menghadapi gelombang haba pertama musim panas hemisfera utara, ketika perubahan iklim terus mendorong suhu meningkat ke tahap membimbangkan di benua yang paling pantas mengalami pemanasan di dunia.

    Suhu dijangka mencecah 37 darjah Celsius di Rom, mendorong pelancong dan jemaah Katolik yang memenuhi Kota Abadi itu membanjiri 2,500 pancuran awam di ibu negara Itali bagi mendapatkan kelegaan.

    Dengan suhu di bandar pelabuhan selatan Perancis, Marseille, diramal mencecah hampir 40 darjah Celsius, pihak berkuasa di bandar kedua terbesar negara itu mengarahkan kolam renang awam dibuka kepada orang ramai secara percuma bagi membantu penduduk mengatasi bahang panas Mediterranean.

    Dua pertiga wilayah Portugal pula dijangka diminta berjaga-jaga hari ini berikutan risiko haba melampau dan kebakaran hutan, dengan suhu setinggi 42 darjah Celsius diramal di ibu kota Lisbon.

    Pengunjung serta penunjuk perasaan yang menghadiri majlis perkahwinan bilionair Amazon, Jeff Bezos di Venice pada Jumaat juga terpaksa berpanas di bawah terik mentari musim panas.

    “Saya cuba tidak terlalu memikirkannya, tapi saya minum banyak air dan tidak duduk diam di satu tempat, kerana ia boleh membawa kepada strok haba,” kata Sriane Mina, seorang pelajar Itali kepada AFP di Venice pada Jumaat.

    Para saintis sejak sekian lama telah memberi amaran bahawa pembakaran bahan api fosil oleh manusia menyebabkan pemanasan global yang membawa kesan buruk kepada alam sekitar, termasuk gelombang haba musim panas yang semakin kerap dan teruk di Eropah – kesan langsung daripada pemanasan tersebut.

    Gelombang haba berkenaan dijangka menjadi lebih teruk pada hari ini.

    Sepanyol, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengalami siri kebakaran yang membawa maut pada musim panas di Semenanjung Iberia, dijangka merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan negara itu. – AFP

    Sebuah papan tanda farmasi yang menunjukkan suhu luar semasa 40°C, dengan latar belakang kubah Basilika Saint Peter, di Rom berhampiran Vatican pada 28 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda